Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan University of Cyberjaya (UoC) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam majlis rasmi yang berlangsung di Kompleks Bangi, Agensi Nuklear Malaysia.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Mohammad Rawi Mohamed Zin dan Naib Canselor UoC, YBhg. Profesor Dr. David Whitford sebagai wakil rasmi kedua-dua institusi serta disaksikan oleh barisan pengurusan atasan Nuklear Malaysia dan UoC.

Pemeteraian perjanjian kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi serta perkongsian kepakaran dan kemudahan, selari dengan hasrat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk memperkasakan ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) negara melalui pemindahan teknologi, penyelidikan berimpak tinggi serta pengukuhan sinergi antara institusi penyelidikan dengan pendidikan tinggi.
Kerjasama ini turut menyokong usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang teknologi nuklear dan penggunaan yang berkaitan bagi memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Usaha ini dijangkakan berupaya memperluas peluang kolaborasi akademik, memupuk pembangunan bakat penyelidik muda serta merangsang penghasilan inovasi berdaya saing pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Selain itu, pemeteraian MoU ini juga selari dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) yang menekankan pemerkasaan penyelidikan dan inovasi, di samping memastikan penggunaan teknologi nuklear yang selamat, bertanggungjawab dan memberikan manfaat kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan mampan negara.

Melalui MoU ini, Nuklear Malaysia dan UoC komited untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam menyokong agenda STI negara ke arah pembangunan mampan, berteknologi tinggi dan berimpak kepada kesejahteraan masyarakat.