Diterbitkan pada 15 April 2026, 17:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Kuala Lumpur telah menganjurkan Industrial Hygiene Skills Workshop: Bridging Theory and Practice in Industrial Hygiene sebagai inisiatif memperkukuh kefahaman serta kemahiran praktikal pelajar dalam bidang amalan kesihatan industri (hygiene industry).

Bengkel ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada skop kerjaya, prinsip penilaian pendedahan di tempat kerja serta merapatkan jurang antara teori dengan aplikasi industri, di samping membuka peluang jaringan profesional.

Program sehari yang berlangsung di Dewan Kuliah 3 (DK3) melibatkan pelajar program prasiswazah Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, UKM dengan menampilkan perkongsian daripada pengamal industri yang berpengalaman luas dalam bidang amalan kesihatan industri. Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Nurul Farahana selaku ketua program.

Ujarnya,

Industri memerlukan individu yang bukan sahaja memahami teori, tetapi mampu menjalankan penilaian pendedahan, menggunakan peralatan dengan betul, dan berkomunikasi secara profesional dengan pelbagai pihak.

YBrs. Prof. Madya Dr. Nurul Farahana menyampaikan ucapan alu-aluan semasa majlis perasmian bengkel.

Peserta turut mengikuti pelbagai sesi termasuk pengenalan amalan kesihatan industri, prinsip pemantauan pendedahan serta demonstrasi berkaitan dengan kualiti udara, bahan kimia, ergonomik dan bunyi di tempat kerja. Aktiviti amali ini memberikan pengalaman langsung kepada pelajar dalam penggunaan peralatan dan teknik penilaian risiko.

Peserta memberikan tumpuan penuh semasa sesi perkongsian ilmu berkaitan dengan prinsip pemantauan pendedahan di tempat kerja.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada aktiviti demonstrasi yang merangkumi pemantauan kualiti udara dalaman serta pendedahan kepada habuk dan bahan kimia yang dikendalikan oleh Tuan Nor Mohd Razif, seorang pengamal yang berpengalaman dan kompeten dalam bidang tersebut.

Program diakhiri dengan sesi rumusan, maklum balas peserta serta penyampaian sijil penyertaan. Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini selari dengan usaha universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan, khususnya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Sesi penyampaian sijil sebagai penghargaan atas pelibatan pihak industri dalam bengkel yang dianjurkan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi