Diterbitkan pada 15 April 2026, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) terus memperkukuh peranannya dalam memastikan keselamatan dan kawal selia tenaga atom menerusi penyertaan dalam Pameran Rakyat MADANI 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Penyertaan jabatan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta agensi di bawahnya, Agensi Nuklear Malaysia dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MiGHT) memberikan peluang kepada orang ramai mengenali fungsi agensi teknikal negara secara lebih dekat.

Sepanjang pameran tersebut berlangsung, reruai Jabatan Tenaga Atom menerima kunjungan berterusan daripada pengunjung yang ingin memahami peranan jabatan, khususnya dalam aspek keselamatan dan kawal selia penggunaan tenaga nuklear di Malaysia.

Wakil Atom Malaysia, Puan Nor Faezah Rabani berkata, pameran seumpama ini penting bagi menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.

Katanya,

Para pengunjung dapat bertanya secara terus dan memahami cara penggunaan bahan radioaktif dan nuklear digunakan secara selamat dalam pelbagai sektor.

Menurut beliau, keselamatan sentiasa menjadi keutamaan jabatan ini dalam melindungi rakyat dan alam sekitar daripada risiko berkaitan dengan bahan radioaktif.

Dalam usaha memperkukuh penyampaian maklumat, Atom Malaysia turut menampilkan bahan pameran berbentuk infografik, video penerangan serta demonstrasi ringkas berkaitan dengan fungsi pengawalseliaan, termasuklah aspek pelesenan, pemeriksaan dan penguatkuasaan.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu turut melawat reruai Jabatan Tenaga Atom bagi melihat sendiri aktiviti pameran serta berinteraksi bersama-sama para pengunjung.

Sesi lawatan Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu ke reruai Jabatan Tenaga Atom.

Antara aktiviti yang menarik perhatian termasuklah sesi kuiz interaktif Kahoot yang menampilkan soalan berkaitan dengan peranan Jabatan Tenaga Atom dan agensi di bawah MOSTI.

Pengunjung mengunjungi reruai Jabatan Tenaga Atom untuk menyertai sesi Kahoot.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik, Encik Muhammad Ameer Aimanuddin Mazlan selaku wakil MOSTI berkata, objektif penyertaan kementerian dalam program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman rakyat dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif kerajaan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Ujarnya,

Program MADANI Rakyat ini menjadi platform untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif kerajaan kepada masyarakat.

MOSTI mengetengahkan agenda STI, selaras dengan tema penganjuran, iaitu “Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti dan Komuniti Harmoni” serta membawa inisiatif yang menyokong pembangunan bandar lestari.

Secara keseluruhannya, penyertaan Jabatan Tenaga Atom dalam pameran ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran masyarakat, malah mengukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dengan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi