Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSemenyih – Minggu Sains Negara (MSN) 2026 yang dilancarkan pada hari ini menyasarkan pelibatan sebanyak 1.15 juta orang peserta dari seluruh negara yang bertujuan untuk memperluas akses dan penyertaan masyarakat dalam program berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Datuk Chang Lih Kang dalam satu kenyataan berkata, inisiatif tersebut selari dengan aspirasi ekonomi MADANI untuk melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyokong kemasukan pelaburan berkualiti.
Katanya,
Dalam konteks geopolitik global yang semakin mencabar, keupayaan negara membangunkan bakat teknologi tempatan menjadi semakin kritikal bagi memastikan Malaysia bukan sahaja menjadi pengguna, tetapi juga pencipta teknologi.
Tambah beliau, usaha ini penting dalam memperkukuh kedaulatan teknologi negara serta mengurangkan kebergantungan pada pihak luar dalam sektor strategik.
Menurut beliau, MSN 2026 merupakan antara inisiatif utama kerajaan dalam menyemarakkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi, selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.
Ujarnya, pelaksanaannya pada tahun ini tampil lebih dinamik melalui pengisian MOSTI TECHTalks 2026 Siri 1 yang bertujuan untuk menterjemah aspirasi merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan mengarusperdanakan inovasi dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya,
Dengan menyasarkan penyertaan daripada pelajar sekolah, komuniti institusi pendidikan tinggi (IPT) serta masyarakat setempat, strategi pelaksanaan MSN 2026 akan dibahagikan kepada tiga fasa utama, iaitu fasa pertama yang merupakan pelancaran Road to MSN 2026 yang bermula pada April 2026.
Fasa kedua pula ialah MSN 2026 @ Zon yang melibatkan penganjuran karnival sains secara fizikal di lima lokasi strategik di seluruh negara (zon utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak) bermula pada Mei 2026 hingga Oktober 2026, manakala fasa ketiga pula MSN 2026 @ Finale sebagai acara kemuncak di zon tengah pada November 2026 yang akan disepadukan dengan sambutan Hari Sains Sedunia.
Menurut beliau, konsep karnival fizikal di lokasi strategik ini adalah untuk memastikan aktiviti pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) dijalankan secara bersasar dan berfokus, terutamanya bagi memberikan akses kepada komuniti di pinggir dan luar bandar.
Tambah beliau, pendekatan interaktif dan amali melalui pameran serta eksperimen langsung dijangkakan lebih berkesan dalam menarik minat pelajar terhadap bidang STEM berbanding dengan kaedah pembelajaran formal.
Ujarnya, penganjuran MSN 2026 turut memperlihatkan kolaborasi erat antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Rakan MySains dan IPT terpilih sebagai rakan pelaksana utama bagi memanfaatkan kepakaran teknikal, fasiliti dan rangkaian industri mereka.
Maklumnya,
Antara rakan strategik yang terlibat termasuklah Pusat Sains Negara, Planetarium Negara, Petrosains, Tech Dome Penang serta pelbagai universiti tempatan mengikut zon masing-masing.
Katanya lagi, dengan sasaran penyertaan yang inklusif dan menyeluruh, MOSTI komited untuk meningkatkan literasi masyarakat terhadap kepentingan STI sebagai pemacu kesejahteraan dan kualiti hidup, selaras dengan nilai Malaysia MADANI.
Majlis pelancaran fasa pertama program MSN 2026 yang dikenali sebagai “Road to MSN 2026” telah disempurnakan oleh YB Datuk Chang Lih Kang di University of Nottingham Malaysia dengan tumpuan khusus kepada teknologi kecerdasan buatan.