Diterbitkan pada 12 April 2026, 20:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Pertandingan Inovasi antara Asasi Malaysia 2026 (PITRAM 2026) direalisasikan sebagai wahana intelektual berimpak tinggi yang menghimpunkan pelajar, serta warga akademik prasiswazah dari seluruh negara di bawah naungan Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam Malaysia.

Program ini merupakan platform nasional yang menggabungkan pusat asasi universiti awam, kolej matrikulasi, serta institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan politeknik dalam usaha memperkukuh budaya ilmu, penyelidikan, serta inovasi secara lebih sistematik dan bersepadu.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi transformasi pendidikan tinggi negara yang menekankan pembangunan modal insan holistik, berdaya saing, serta berorientasikan penyelesaian isu semasa dan global.

Pertandingan Inovasi antara Asasi Malaysia 2026 (PITRAM 2026) merupakan wahana intelektual berimpak tinggi yang menghimpunkan pelajar dan warga akademik bagi memperkukuh budaya inovasi.

Mengangkat tema “Cabaran Daya Tahan: Idea Tempatan Menjana Penyelesaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Global”, PITRAM 2026 mencerminkan kesedaran strategik terhadap keperluan melahirkan generasi yang tangkas, serta berdaya adaptasi dalam dunia yang semakin kompleks.

Pendekatan interdisiplin berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM) yang diketengahkan turut menjadi pemangkin kepada pembinaan pemikiran aras tinggi, keupayaan analitikal, serta kreativiti transformatif dalam kalangan peserta.

Pengerusi Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Muhammad Fuad Othman dalam ucapannya memaklumkan bahawa PITRAM 2026 menerima sebanyak 221 penyertaan daripada pelbagai institusi, termasuk pusat asasi universiti awam, asasi TVET, serta kolej matrikulasi.

Pengerusi Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Muhammad Fuad Othman.

Menurut beliau, jumlah penyertaan yang memberangsangkan itu mencerminkan peningkatan daya saing, serta mengukuhkan kedudukan PITRAM sebagai platform utama dalam mencetuskan kreativiti dan inovasi pada peringkat nasional.

“Pendidikan asasi bukan sahaja berfungsi sebagai jambatan ke peringkat prasiswazah, malah menjadi medan penting untuk melahirkan pelajar yang holistik, berjiwa kepimpinan, serta cemerlang dalam akademik dan sahsiah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa inovasi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan mutlak bagi memastikan generasi masa hadapan mampu menghadapi perubahan dunia dengan yakin.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa pelajar agar beralih daripada sekadar menjadi masyarakat pengguna kepada masyarakat pencipta yang mampu menghasilkan produk, serta penyelesaian sendiri.

Pertandingan yang berlangsung secara hibrid ini dimulakan dengan sesi dalam talian sebelum diteruskan secara fizikal di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dengan setiap institusi diberi peluang menghantar sekurang-kurangnya 10 penyertaan fizikal dan lima penyertaan maya.

Majlis penutupan PITRAM 2026 disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi MARA, YBrs. Dr. Yamin Yasin yang menyifatkan penganjuran program seumpama ini sebagai usaha penting dalam memperkasakan ekosistem inovasi pada peringkat prasiswazah.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi MARA, YBrs. Dr. Yamin Yasin.

Beliau berkata, penganjuran pertandingan inovasi bukan sahaja memerlukan komitmen tinggi daripada pihak pengurusan, malah sokongan menyeluruh daripada pensyarah, serta tenaga pengajar yang berperanan membimbing pelajar menghasilkan idea dan produk inovatif.

“Dalam garis panduan baharu kenaikan pangkat di UiTM, elemen inovasi, serta penerbitan dalam jurnal berindeks menjadi antara kriteria penting. Pembaharuan ini menunjukkan betapa signifikan budaya inovasi dalam pembangunan akademik,” jelas beliau.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa sambutan terhadap pendidikan tinggi semakin meningkat dengan hampir 280,000 permohonan diterima melalui sistem Unit Pengambilan Universiti (UPU) setakat ini, sekali gus mencerminkan minat tinggi pelajar untuk melanjutkan pengajian.

PITRAM 2026 turut mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk penaja seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta beberapa syarikat industri yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran program tersebut. Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

Kemuncak acara menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah kepada peserta terbaik yang menonjolkan inovasi berimpak tinggi.

Penyampaian Anugerah PITRAM 2026

::Anugerah Gema Pitching: 5 Minit Aspirasi Inovasi::

• Johan: Produk Car Rotation and Moving Device dari Universiti Malaya (UM)

• Naib Johan: Produk One Survive dari Universiti Malaysia Sabah (UMS)

• Tempat Ketiga: Produk Motion Guard dari UiTM Dengkil

::Anugerah Berlian (Kategori Kreatif dan Inovatif)::

• Kategori A (Pelajar Sains dan Teknologi)

Produk BioBubbles: Teknologi Pencuci Lestari Berasaskan Kulit Buah dari Universiti       Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

• Kategori B (Pelajar Sains Sosial)

Produk Hijaiz Apps dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

• Kategori C (Profesional, Staf Akademik dan Pentadbiran)

Produk MazElectro dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

::Anugerah Pembentang Terbaik (Fizikal)::

• Kategori A: Pembentang produk Ecogenius dari UM

• Kategori B: Pembentang produk FINDERS2.0: Fast Intelligence Notification and Digital Retrieval dari UMK

• Kategori C: Pembentang produk TitraGo: Reinventing Acid-Base Titration Learning dari UIAM

::Anugerah Poster Terbaik::

• Kategori A: Produk Smart Bag Weight Detection dari Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail

• Kategori B: Produk AMSAL ALIVE: Visualisasi Perumpamaan al-Quran melalui Komik Pendidikan dari UIAM

• Kategori C: Produk Rizab Pintar Aktuari dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

::Anugerah Platinum (Terbaik Keseluruhan)::

Kategori A (Pelajar Sains dan Teknologi)

• Johan: Produk BioBubbles: Teknologi Pencuci Lestari Berasaskan Kulit Buah dari UIAM

• Naib Johan: Produk Ecogenius dari UM

• Tempat Ketiga: Produk HealFlex dari UniSZA

Kategori B (Pelajar Sains Sosial)

• Johan: Produk Pomo Law – No dari UiTM

• Naib Johan: Produk AMSAL ALIVE: Visualisasi Perumpamaan al-Quran melalui Komik Pendidikan dari UIAM

• Tempat Ketiga: Produk FINDERS2.0: Fast Intelligence Notification and Digital Retrieval dari UMK

Kategori C (Staf Akademik dan Pentadbiran)

• Johan: Produk MazElectro dari UniSZA

• Naib Johan: Produk Voltscape dari UniSZA

• Tempat Ketiga: Produk Mari Belajar Bahasa Inggeris melalui Bahasa Arab dan Terjemahan al-Quran dari UiTM.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi