Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Persidangan Antarabangsa Sains Tanah 2026 (SOILS2026) secara rasminya membuka tirai hari ini di Raia Hotel and Convention Centre, Kuala Terengganu dengan menghimpunkan seramai 131 orang peserta dari pelbagai negara untuk membincangkan peranan kritikal tanah dalam mendepani cabaran global.
Program anjuran Persatuan Sains Tanah Malaysia (MSSS) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Terengganu ini berjaya menarik lebih 25 peratus penyertaan antarabangsa, termasuk wakil dari Indonesia, Thailand, Papua New Guinea, Bangladesh dan Nigeria.
Bagi memperkaya perbincangan ilmiah, SOILS2026 menampilkan barisan ucaptama tersohor yang membawakan perspektif global dan teknikal dalam pengurusan tanah serta kelestarian, termasuklah YBrs. Dr. Mohamed Faisal Mohd Noor, Pengarah Kanan (PMPD), Malaysia Forest Fund; YBrs. Prof. Dr. Jean W. H. Yong, Profesor Kerusi Penanaman Lestari, Brightlands Future Farming Institute (BFFI), Maastricht University, Belanda; YBrs. Dr. Joko Tandiono, Ketua Agronomi dan Khidmat Nasihat, Minamas Research Centre, Indonesia; dan YBrs. Prof. Madya Dr. Anil Somenahally dari Texas A&M AgriLife Research, Amerika Syarikat.
Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Azman Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, semasa merasmikan persidangan ini menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam memperkukuh sekuriti makanan dan memacu amalan pertanian lestari melalui pengurusan sumber tanah yang inovatif.

Beliau hadir mewakili YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Dr. Sukati Sakka, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Dr. Azman Ibrahim mendedahkan profil landskap pertanian Terengganu yang unik namun mencabar, termasuklah tanah mineral yang merangkumi kawasan rendah (228,342.34 hektar) dan kawasan berbukit (947,845.46 hektar).; tanah organik (gambut) meliputi 64,812.45 hektar dan diklasifikasikan sebagai tanah bermasalah yang memerlukan pengurusan pakar; serta kawasan berisiko banjir.
Tambahnya, bagi menangani kekangan ini, Terengganu telah melancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024 – 2030 yang memfokuskan peningkatan pengeluaran makanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan import.
Katanya,
Melalui projek berimpak tinggi seperti Melon Manis Terengganu (MMT), kita telah membuktikan inovasi dan model perniagaan yang tepat mampu meningkatkan pengeluaran makanan serta pendapatan petani.
Negeri ini juga sedang giat beralih ke arah pertanian pintar (IR 4.0) dengan penggunaan sensor, automasi dan sistem pemantauan digital untuk mengoptimumkan hasil serta mengurangkan pembaziran.
Satu inisiatif penting yang turut ditekankan ialah program Malaysian Soil Doctor (mySOILDOCTOR) yang bertujuan melatih petani terpilih menjadi pakar rujuk dalam komuniti mereka bagi menyebarkan pengetahuan mengenai pengurusan tanah lestari dan penyelesaian praktikal kepada isu degradasi tanah di lapangan.

Majlis ini turut diserikan dengan sesi Anugerah Pelajar Sekolah yang meraikan kecemerlangan murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mengabang Telipot dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng.
Kejayaan penganjuran SOILS2026 turut didorong oleh sokongan padu rakan strategik dan penaja seperti Elite Scientific Instruments Sdn Bhd, Omya Malaysia Sdn. Bhd. dan Apical Scientific.
Menutup ucapannya, YB Dato’ Dr. Azman Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa persidangan ini akan menjana perbincangan bermakna serta mengukuhkan kerjasama antara penyelidik, agensi kerajaan, dan pemain industri.
Ujarnya,
Marilah kita bekerjasama untuk memastikan tanah yang menjadi asas kehidupan dilindungi, dipulihkan dan diurus secara mampan untuk generasi akan datang.