Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 7 April 2026, 14:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nibong Tebal – Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) mengungguli pertandingan Materials and Product Design Eco-Challenge (MPDEC) 2026 apabila delegasinya daripada Young Inventors Club merangkul pelbagai anugerah utama melalui inovasi bahan hijau berasaskan sisa organik di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM).

KMPh mendominasi Pertandingan MPDEC 2026 di USM.

Inovasi paling menyerlah ialah projek BIOWRAP oleh kumpulan Arcane Pulse yang muncul sebagai johan bagi Kategori Trek Polimer menerusi penghasilan bahan pembungkusan biodegradasi daripada kulit bawang sebagai alternatif kepada plastik konvensional dalam industri logistik.

Kumpulan Arcane Pulse telah mengharumkan nama KMPh dengan merangkul johan bagi Kategori Trek Polimer menerusi projek inovatif, BIOWRAP.

Projek di bawah seliaan Puan Nur Rasyidah Mohd Nor itu dilihat mampu mengurangkan lambakan sisa pertanian, di samping menawarkan bahan mesra alam yang mudah terurai dan berpotensi mengurangkan pencemaran tanah.

Selain itu, KMPh turut mencatat kejayaan dalam kategori lain apabila kumpulan Velvia meraih naib johan bagi Kategori Trek Mineral melalui projek Plantable Seed Packaging (Grow-me), manakala kumpulan Natural Rangers menduduki tempat ketiga menerusi inovasi alat tulis lestari Write2Root.

Dalam pada itu, kumpulan yang diketuai oleh Puan Nur Amirah Yasmin turut mengharumkan nama KMPh apabila dinobatkan sebagai naib johan bagi Kategori Trek Sumber Mineral menerusi inovasi The Magic of E-Shell.

Menurut pensyarah pembimbing, Puan Nurul Fadhila Che Kamaludin, kejayaan tersebut merupakan hasil sokongan padu daripada pihak pengurusan KMPh termasuklah Pengarah KMPh, Puan Hajah Latiza A Latif dan Ketua Jabatan Sains, Wan Zai Azlin Wan Aziz.

Beliau berkata, pencapaian itu diharapkan menjadi inspirasi serta pemacu semangat kepada pelajar dalam menterjemahkan teori sains kepada penyelesaian praktikal yang memberikan nilai tambah kepada kecemerlangan akademik dan pembangunan negara.

MPDEC 2026 yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM itu bertujuan untuk memupuk kreativiti dalam reka bentuk produk lestari dengan penekanan terhadap inovasi bahan hijau yang memberikan impak positif kepada ekosistem masa hadapan.

Pencapaian ini membuktikan bahawa kolej matrikulasi bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan kurikulum, malah berperanan sebagai inkubator dalam melahirkan saintis muda yang peka terhadap isu kelestarian sejagat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi