Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Dalam usaha berkongsi pengetahuan dan memperluas jaringan profesional dalam bidang probiotik dan postbiotik, Persatuan Bakteria Asid Laktik Malaysia (MSLAB) dengan kerjasama National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) telah menganjurkan ceramah awam bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Institut Agro-Bioteknologi, NIBM.
Program yang menjadi medan strategik dengan menghimpunkan penyelidik universiti awam dan swasta, agensi kerajaan serta pihak industri bioteknologi itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Kewangan NIBM, Puan Azlina Abdul Ajis yang mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai persatuan dan institusi sebagai platform untuk memperkukuh jaringan serta perkongsian ilmu.

Program tersebut disusuli dengan ceramah umum yang bertajuk “Postbiotik Bakteria Asid Laktik: Dari Makmal ke Pasaran dan Laluan Pengkomersialan” yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Tan Joo Shun dari Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia merangkap Pengurus Makmal Unit Biofermentasi di Pusat Penyelidikan Biokimia Analitik dan pengasas bersama serta pengarah Biotenova Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang memfokuskan pembangunan probiotik dan postbiotik.
Dalam ceramah tersebut, beliau telah berkongsikan panduan praktikal dan pengalamannya dalam pembangunan postbiotik daripada bakteria asid laktik, bermula dengan isolasi dan pemilihan strain, penilaian bioaktiviti dan pengoptimuman fermentasi.

Beliau juga memberikan penekanan tentang proses pengkomersialan, kepentingan pelibatan industri, pematuhan peraturan, penilaian keselamatan dan perlindungan harta intelek sebagai elemen penting dalam memastikan kejayaan sesuatu produk dalam pasaran.
Program ceramah ini kemudiannya disusuli dengan Mesyuarat Agung Tahunan MSLAB yang melibatkan pembentangan laporan aktiviti dan perancangan masa hadapan persatuan.
Dalam mesyuarat tersebut, YBhg. Profesor Foo Hooi Ling dari Universiti Putra Malaysia telah dipilih semula sebagai Presiden MSLAB bagi meneruskan kepimpinan dan legasi beliau dalam memperkukuh peranan persatuan sebagai platform penghubung antara penyelidik, ahli akademik dengan pihak industri.
Sebagai penutup program, para peserta berpeluang menyertai lawatan ke makmal Institut Agro-Bioteknologi bagi mendapatkan pendedahan kepada kemudahan penyelidikan serta teknologi moden yang sedia ada untuk membuka ruang kepada jalinan kerjasama penyelidikan dan pertukaran ilmu antara institusi.
Penganjuran ceramah awam dan AGM ini mencerminkan komitmen MSLAB dalam memperkasakan ilmu pengetahuan, memacu inovasi serta merapatkan jurang antara penyelidikan dengan aplikasi industri dalam bidang bioteknologi moden.
