Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 14:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkukuh pembudayaan integriti dalam kalangan warganya menerusi penganjuran Program Psychoethics: Minda Sejahtera, Integriti Terpelihara yang menggabungkan elemen kesejahteraan psikologi dan etika sebagai asas pembentukan budaya kerja berakauntabiliti, profesional serta berintegriti.

Program anjuran Unit Pengurusan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, MOSTI yang diadakan di Bilik Latihan, Malaysia Board of Technologists, Putrajaya itu menghimpunkan sebanyak 28 orang peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan.

Sepanjang program itu berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai aspek etika perkhidmatan awam menerusi ceramah, aktiviti berkumpulan dan sesi interaktif yang dikendalikan oleh Tuan Ruben a/l Samuel dari Institut Integriti Malaysia, Encik Faizul Idzwan Mohd Nizam dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Tuan Wong Chiew Hoong dari Unit Integriti MOSTI.

Encik Faizul Idzwan Mohd Nizam ketika menyampaikan kupasan terperinci mengenai implikasi kesalahan menerima rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Antara topik yang diketengahkan termasuklah strategi pembudayaan integriti organisasi, mekanisme pengurusan aduan yang berkesan, pemantapan tadbir urus serta pendekatan mendepani pelbagai cabaran etika dalam persekitaran kerja pada masa ini.

Tuan Wong Chiew Hoong ketika berkongsikan peranan dan tanggungjawab Unit Intergriti dalam memastikan pengurusan aduan dan pematuhan etika dilaksanakan secara berkesan.

Keunikan program ini berbanding dengan latihan konvensional ialah penekanannya terhadap konsep psychoethics, iaitu pendekatan yang meletakkan kesejahteraan psikologi sebagai asas pembentukan tingkah laku yang jujur, amanah dan beretika dalam organisasi.

Tuan Ruben a/l Samuel semasa membincangkan konsep etika dan integriti serta kaedah menangani dilema moral dan cabaran etika dalam persekitaran kerja.

Melalui aktiviti refleksi kendiri, perbincangan berkumpulan dan perkongsian pengalaman, para peserta dibimbing untuk menilai semula peranan masing-masing dalam membentuk persekitaran kerja yang telus, bertanggungjawab serta berteraskan nilai saling menghormati.

Menurut Pegawai Psikologi Kanan MOSTI, YBrs. Dr. Fairuz Ibrahim, kelestarian sesebuah organisasi perlu diseimbangkan dengan nilai amanah, akauntabiliti dan pertimbangan moral, bukan sekadar berasaskan kecekapan operasi semata-mata.

Ujarnya,

Program berimpak tinggi seperti ini diharapkan dapat diteruskan sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran warga kerja bahawa kestabilan emosi memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kualiti pertimbangan dan keputusan beretika seseorang penjawat awam.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan MOSTI dalam memperkasakan pembangunan modal insan secara holistik agar bukan sahaja cemerlang dalam penyampaian perkhidmatan, malah memiliki daya tahan emosi yang tinggi serta integriti yang kukuh demi memperkasakan budaya kerja dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi perkhidmatan awam negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi