Diterbitkan pada 8 Julai 2026, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Mesyuarat Ketujuh Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) Bil. 1/2026 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memperkukuh hala tuju tindakan iklim negara menerusi pertimbangan tiga pelan tindakan strategik bagi menyokong Nationally Determined Contribution (NDC) 3.0 Malaysia di bawah Perjanjian Paris, sekali gus mempercepat peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam satu kenyataan, pelan tindakan yang dipertimbangkan ialah Pelan Tindakan Peralihan Adil, Pelan Tindakan Gender serta Strategi Pembiayaan dan Pelaburan yang menjadi pemangkin kepada pelaksanaan komitmen iklim negara secara inklusif, adil dan mampan bagi memastikan manfaat peralihan kepada ekonomi rendah karbon dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Mesyuarat itu turut meneliti empat kertas pertimbangan dan satu kertas makluman yang memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim serta mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan rendah karbon.

Mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan melantik Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai national focal point bagi Fund for Responding to Loss and Damage di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim bagi memperkukuh akses Malaysia kepada pembiayaan antarabangsa berkaitan dengan impak perubahan iklim.

Dalam mesyuarat berkenaan juga membincangkan persiapan penyertaan Malaysia ke Persidangan Negara Ahli Ke-31 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim di Antalya, Turkiye sebagai usaha memperkukuh komitmen negara dalam rundingan perubahan iklim pada peringkat antarabangsa.

World Bank turut membentangkan Country Climate and Development Report yang akan dijadikan rujukan strategik dalam memperkukuh dasar serta agenda pembangunan ekonomi rendah karbon negara.

Status pelaksanaan Program Bandar Rendah Karbon yang diterajui oleh Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation juga dibentangkan dan menunjukkan kemajuan positif dalam menyokong pengurangan pelepasan gas rumah kaca serta memperkukuh pembangunan bandar yang mampan.

Kerajaan kekal komited memperkukuh tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta, institusi kewangan, komuniti dan rakyat bagi memastikan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon dilaksanakan secara adil, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta komitmen negara di bawah Perjanjian Paris.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi