Diterbitkan pada 7 Julai 2026, 10:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dua orang pelajar Malaysia terpilih menyertai Program Pelajar Musim Panas Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN) atau CERN Summer Student Programme (CSSP) 2026 di Geneva, Switzerland, sekali gus membuka peluang kepada bakat muda negara untuk menimba pengalaman dalam persekitaran penyelidikan bertaraf dunia.

Berdasarkan kenyataan media oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) semalam, dua orang pelajar tersebut ialah Ahmad Lutfi Che Hassan dan Loh Jia Cheng yang masing-masing berumur 26 tahun.

Mereka akan menyertai kira-kira 150 orang peserta dari seluruh dunia dalam program yang berlangsung dari Jun hingga Ogos 2026.

Sejak tahun 2012, MOSTI bersama-sama dengan Akademi Sains Malaysia (ASM) berperanan sebagai badan pencalonan rasmi bagi pelajar Malaysia ke program tersebut dan sebanyak 29 orang pelajar Malaysia telah dihantar ke CSSP termasuklah peserta pada tahun ini.

Program CSSP menawarkan pengalaman pembelajaran yang unik di luar bilik kuliah, khususnya dalam bidang sains dan teknologi yang semakin kompleks serta merentas disiplin.

Peserta berpeluang menyertai tugasan penyelidikan harian, siri kuliah, perbincangan teknikal serta meneroka kemudahan eksperimen berteknologi tinggi di CERN.

Loh Jia Cheng yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Sains Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) menyifatkan pemilihannya untuk menyertai program tersebut sebagai satu penghormatan besar.

Beliau berharap pengalaman tersebut dapat memperluas perspektif penyelidikannya serta membolehkannya membawa pulang pengetahuan teknikal yang bermanfaat kepada negara.

Sementara itu, Ahmad Lutfi Che Hassan, pelajar Sarjana Sains Statistik Industri di Sunway University berkata, peluang tersebut bukan sahaja penting untuk pembangunan profesionalnya, malah menjadi sumber inspirasi kepada keluarga.

Beliau turut berharap dapat menunjukkan keberkesanan kaedah statistik dan analisis data yang mampu menyumbang kepada penyelesaian masalah saintifik yang kompleks.

Dalam kenyataan yang sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Chang Lih Kang menyatakan bahawa penyertaan pelajar Malaysia ke program CSSP mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluas pendedahan bakat muda kepada pengalaman penyelidikan antarabangsa.

Menurut beliau, program seperti CSSP adalah selari dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030 dalam memperkukuh pembangunan bakat yang adaptif dan berdaya saing.

Presiden ASM, Academician Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen pula menegaskan bahawa penyertaan bakat muda dalam CSSP mampu membentuk pemikiran saintifik, keyakinan serta keupayaan penyelidikan dalam kalangan pelajar.

Beliau menyatakan bahawa pengalaman tersebut penting dalam melahirkan generasi profesional dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang berfikiran kritikal serta berasaskan bukti.

Melalui program ini, para peserta turut diberikan peluang untuk membina jaringan antarabangsa serta meningkatkan kemahiran dan pengalaman yang relevan untuk pembangunan kerjaya pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi