Diterbitkan pada 7 Julai 2026, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar Perlis dipacu sebagai makmal terbaik untuk menguji dasar kelestarian ke arah “Negeri Pintar Hijau”, sekali gus menjadi antara negeri terawal di Malaysia yang menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui menerusi solar dan biojisim serta sistem pengurusan sisa pintar.

Baginda bertitah, saiz Perlis yang tidak begitu besar merupakan satu kelebihan untuk merealisasikan hasrat tersebut, manakala kejayaan mencapai status sifar karbon akan membuktikan negeri itu turut berwawasan global dalam menangani isu perubahan iklim.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah tersebut disampaikan bersempena dengan sesi menghadap delegasi Majlis Perbandaran Kangar yang diketuai oleh Yang Dipertua Tuan Haji Affendi Rajini Kanth di Galeri DiRaja Arau.

Dalam sesi pertemuan tersebut, Yang Dipertua Tuan Haji Affendi Rajini Kanth menyembah maklum bahawa Majlis Perbandaran Kangar terus memperkukuh komitmennya untuk merealisasikan agenda pembangunan mampan menerusi penyediaan Pelan Tindakan Bandar Hijau atau Green City Action Plan (GCAP) sebagai dokumen strategik untuk memacu pembangunan rendah karbon, meningkatkan daya tahan bandar dan memperkasakan usaha mitigasi perubahan iklim di Perlis.

Beliau berkata, GCAP disediakan menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Ekonomi Malaysia, IMT-GT Joint Business Council, ICLEI – Local Governments for Sustainability dan Asian Development Bank (ADB), selain telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Kangar pada 10 Februari 2026 untuk dijadikan panduan utama pelaksanaan inisiatif pembangunan bandar hijau di negeri itu.

Menurutnya, GCAP bertujuan untuk mewujudkan bandar yang lebih hijau, berdaya tahan, rendah karbon dan mampan melalui pendekatan pembangunan yang mengimbangi aspek ekonomi, sosial serta alam sekitar, selain selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan dan komitmen Malaysia mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Tambah beliau, sebanyak lima projek keutamaan telah dikenal pasti sebagai pemangkin pelaksanaan GCAP bagi mempercepat transformasi Perlis ke arah negeri yang lebih hijau, rendah karbon, berdaya tahan dan mampan.

Antara projek yang dicadangkan termasuklah pemasangan sistem fotovolta solar di bangunan kerajaan, awam dan persendirian, penyediaan Pelan Mobiliti Rendah Karbon, pembangunan Zon Mikro-Mobiliti dan Pengangkutan Tidak Bermotor serta pembangunan kemudahan Material Recovery Facility berkapasiti 80 tan sehari bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan kadar kitar semula.

Turut dicadangkan ialah penyediaan Pelan Pengurusan Bencana Negeri Perlis, pemerkasaan Perlis Integrated Command Centre bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana serta pelaksanaan sistem penuaian air hujan secara menyeluruh bagi memperkukuh pengurusan sumber air.

Pelaksanaan GCAP dijangkakan menjadi pemangkin transformasi Perlis ke arah negeri yang lebih mampan, berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan mesra alam, di samping mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan berkualiti demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian generasi akan datang.

Turut hadir ialah Setiausaha Majlis Perbandaran Kangar, Encik Redzuan Jaris dan wakil lain dari Majlis Perbandaran Kangar.

Kredit Foto: Istana Arau
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi