Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yakin Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dapat membantu memperkasakan pembangunan petani tempatan agar sektor pertanian di Perlis mampu beralih daripada amalan sara diri kepada perusahaan komersial yang lebih berdaya saing serta menguntungkan.

Baginda mengucapkan penghargaan kepada FAMA yang sentiasa memainkan peranan strategik sebagai pemudah cara kepada para petani melalui pelbagai inisiatif yang mampu meningkatkan nilai tambah hasil pertanian, memperluas pasaran dan memperkukuh daya saing produk tempatan sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Baginda turut menekankan kepentingan penggunaan mekanisasi moden dan inovasi digital dalam sektor pertanian bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi serta mempertingkat kecekapan pengeluaran.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menerima taklimat khas yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi), Encik Faisal Iswardi Ismail yang menjalankan tugas Ketua Pengarah FAMA bersempena dengan Majlis Santapan Malam Pengurusan Atasan FAMA yang berlangsung di Kangar, semalam.

Menyambut keberangkatan baginda ialah Pengarah FAMA Negeri Perlis, Encik Mohd Anzara Azizan.

Antara perkara yang disembah maklum oleh Encik Faisal Iswardi Ismail termasuklah status terkini dan persiapan rapi pihak FAMA mengenai Pembangunan Cawangan-cawangan Kopiesatu, iaitu kedai di Perlis berasaskan minuman kopi jenama tempatan dan juga Cadangan Pembangunan Produk Serbuk Rempah Kurma Perlis.

Majlis tersebut diadakan bersempena dengan lawatan kerja Pengurusan Atasan FAMA Malaysia ke Negeri Perlis bagi meninjau serta memantau pelaksanaan perkhidmatan dan operasi FAMA di negeri ini.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan bergambar kenang-kenangan bersama-sama ahli FAMA.

Lawatan kerja berkenaan memberikan tumpuan kepada penilaian fungsi dan peranan FAMA melalui operasi cawangan sedia ada dan baharu, termasuklah Agrobazaar Rakyat, Gerai Buah-buahan Segar FAMA serta cadangan pembukaan cawangan Kopiesatu di Kangar.

Delegasi FAMA turut mengadakan pemantauan terhadap cadangan pengeluaran produk Rempah Kurma Daging Perlis sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan produk industri makanan berasaskan hasil tempatan serta memperluas peluang pemasaran produk usahawan di bawah bimbingan FAMA.

Kredit Foto: Istana Arau
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi