Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 18 sekolah Eco-Schools tajaan Public Bank Berhad dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang menerima pengiktirafan Green Flag Eco-Schools dalam Simposium Pendidikan untuk Pembangunan Mampan atau Education for Sustainable Development dan Majlis Anugerah Eco-Schools Peringkat Antarabangsa 2026 sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan membudayakan amalan kelestarian berasaskan sains di sekolah.

8 sekolah Eco-Schools dari Pahang menerima Anugerah Green Flag.

Program anjuran Green Growth Asia Foundation (GGAF), Public Bank Berhad dan Kementerian Pendidikan Malaysia itu menjadi platform kepada sekolah untuk mempamerkan projek kelestarian berimpak tinggi, berkongsi amalan terbaik serta memperkukuh kerjasama antara murid, pendidik, pembuat dasar dan pemimpin kelestarian.

Pengarah Eksekutif GGAF, YBhg. Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad dalam ucapannya berkata, kerjasama antara GGAF dengan sektor korporat menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh budaya kelestarian.

Pengarah Eksekutif GGAF, YBhg. Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Public Bank Berhad, Puan Haslinda Othman menyatakan bahawa Public Bank Berhad memperuntukkan lebih RM1 juta bagi melaksanakan program Eco-Schools sebagai sokongan terhadap pendidikan alam sekitar dan pembangunan mampan negara.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Public Bank Berhad, Puan Haslinda Othman ketika menyampaikan Anugerah Green Flag kepada SMK (P) Methodist Kuantan.

Setiap sekolah yang menerima pengiktirafan Green Flag membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.00, plak penghargaan dan sijil sebagai pengiktirafan terhadap komitmen melaksanakan pendekatan kelestarian secara menyeluruh.

Antara sekolah yang menerima anugerah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, SMK Seafield, SMK Taman Tun Dr. Ismail, SMK Gudang Rasau, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa Kuala Lumpur, SMK Ketari dan SMK (P) Methodist Kuantan.

Simposium itu turut disertai Amalina Islamic Junior School dari Indonesia dan ASN Senior Secondary School dari India yang berkongsikan pengalaman melaksanakan pendidikan lestari, selain menghimpunkan pelbagai aktiviti seperti pembentangan projek, bengkel interaktif, pameran dan pertandingan inovasi.

Bagi kategori projek, SMK Ketari dinobatkan sebagai penerima Best Overall Eco Project menerusi projek Biofloc Catfish Farm, manakala SMK Gudang Rasau dan Amalina Islamic Junior School masing-masing memenangi Most Innovative Eco Project melalui projek Lovamist dan Piezoelectric Shoes.

SMK Ketari dinobatkan sebagai penerima Anugerah Best Overall Eco Project.
SMK Gudang Rasau menerima Anugerah Most Innovative Eco Project menerusi projek Lovamist.

SMK (P) Sri Aman pula memenangi kategori Best Presentation, SMK Pandan menerima Judges’ Choice Award, manakala Most Impactful Eco Project dimenangi oleh SMK Sungai Besi.

Majlis turut mengiktiraf sumbangan guru menerusi Anugerah Mentor Guru Inspirasi Eco-School dan Anugerah Adiwira Guru, selain memberikan Anugerah Pengiktirafan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kepada JPN Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas sokongan terhadap pelaksanaan program.

Encik Ahmad Farihan Abdul Manan selaku Penyelaras Eco-Schools SMK (P) Methodist Kuantan menerima Anugerah Guru Mentor Inspirasi Eco-Schools daripada YBhg. Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad.

Program yang berlangsung dengan meriah itu melibatkan kira-kira 300 orang murid dan 200 orang pegawai serta kakitangan Public Bank Berhad.

Amalina Islamic Junior School dari Indonesia dan ASN Senior Secondary School dari India bergambar kenang-kenangan bersama-sama Puan Haslinda Othman, YBhg. Datin Haryati Mohamed Razali dan YBhg. Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad.
Kredit Foto: Green Growth Asia Foundation
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi