Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Pemakaian Kot Putih Pelajar Tahun 3 Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi simbolik penting peralihan mereka ke alam klinikal selepas menamatkan kursus praklinikal sebagai persediaan menghadapi cabaran sebenar bidang optometri.
Kursus praklinikal yang disertai oleh pelajar Tahun 3 Semester 2 Sesi 2025/2026 ini dijalankan secara dalam talian dan bersemuka dengan objektif membentuk jati diri serta memperkukuh pengetahuan berkaitan dengan garis panduan amalan klinikal, sekali gus memberikan gambaran awal cabaran yang bakal dihadapi sebelum memasuki tahun klinikal.

Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan, YBrs. Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin yang merasmikan majlis berkenaan menegaskan bahawa usaha gigih dan sikap positif merupakan kunci kejayaan, malah beliau mengingatkan bahawa bakat semata-mata tidak mencukupi tanpa disiplin yang tinggi dalam menghadapi persaingan pada peringkat profesional.
Sepanjang enam hari pelaksanaan, kursus ini merangkumi modul asas seperti garis panduan prosedur klinikal optometri, etika dan profesionalisme serta kemahiran komunikasi bersama-sama pesakit dan penyelia secara dalam talian, manakala sesi simulasi klinik secara bersemuka di Klinik Optometri UKM memberikan peluang kepada pelajar memantapkan kemahiran praktikal sebelum berdepan dengan pesakit sebenar.
Acara kemuncak kursus berkenaan, iaitu Majlis Pemakaian Kot Putih menandakan permulaan perjalanan profesional pelajar ke arah tahun klinikal, dengan pemakaian kot disempurnakan oleh mentor sebagai penghargaan dan pemangkin semangat agar mereka lebih bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai pelatih optometri.
Dalam majlis yang sama, acara Lafaz Ikrar Aku Janji Pelajar Tahun 3 yang dipimpin oleh Ketua Pengajian Tahun 3, Fun You Quan turut diadakan bagi menyemai komitmen pelajar untuk mematuhi etika serta amalan profesional sepanjang latihan klinikal.
