Diterbitkan pada 1 April 2026, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Senawang – Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) terus mempergiat usaha mendekati generasi muda melalui penyertaan dalam Karnival Pendidikan STREAM Revolusi 2026 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang pada 30 Mac 2026 yang lalu.

Program berteraskan konsep Science, Technology, Religion, Engineering, Arts dan Mathematics (STREAM) ini merupakan satu daripada inisiatif untuk memberikan peluang kepada pelajar sekolah menengah, khususnya pelajar aliran sains untuk mengenali dengan lebih dekat peranan Atom Malaysia serta aplikasi teknologi nuklear dalam kehidupan seharian.

Sepanjang karnival berlangsung, pelajar didedahkan kepada pelbagai peralatan sinaran termasuk alat pengesan sinaran, bahan radioaktif serta perkongsian ilmu berkaitan dengan penggunaan sinaran secara selamat oleh Atom Malaysia

Selain pameran pendidikan, Atom Malaysia turut membawa Unit Operasi Bergerak Atom Malaysia dan mengadakan rakaman audio siar berkonsepkan roadcast dengan slogan “Membawa Nuklear ke Minda Rakyat” yang memberikan  peluang kepada pelajar untuk menyaksikan sendiri rakaman audio siar berkaitan dengan sains nuklear dalam suasana pembelajaran yang lebih dekat dan menarik.

Sesi audio siar bersama-sama Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang, Tuan Haji Zainal Abidin Hamzah.

Pengetua SMK Senawang, Tuan Haji Zainal Abidin Hamzah, berkata pendedahan secara langsung daripada agensi teknikal seperti Atom Malaysia amat penting dalam memperkukuh kefahaman pelajar terhadap bidang sains khususnya sains nuklear.

Katanya,

Hari ini kami amat bertuah kerana Atom Malaysia hadir ke sekolah. Pendedahan pelajar bukan setakat teori tetapi dapat melihat sendiri peralatan serta mengenali radioaktif yang wujud di sekeliling kita. Hal ini memberikan pengalaman pembelajaran sebenar kepada mereka. Selain itu, karnival STREAM ini membantu pelajar memahami dan menjiwai bidang sains melalui pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan praktikal.

Sementara itu, pelajar Tingkatan 5 UIAM, Nur Kamaliah Mustaffar berkata program tersebut membuka perspektif baharu terhadap bidang sains yang mempunyai pelbagai cabang, bukan sahaja tertumpu pada kerjaya sebagai doktor malah merangkumi banyak lagi bidang lain.

Ujarnya,

Sebelum ini saya ingat pelajar aliran sains kebanyakan akan jadi doktor sahaja, tetapi melalui program ini saya sedar sebenarnya bidang sains sangat luas dan banyak pilihan kerjaya lain yang boleh diterokai.

Beliau turut menyifatkan aktiviti yang dijalankan memberikan pengalaman baharu serta meningkatkan minat pelajar untuk mendalami bidang sains pada masa hadapan.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus menyemai minat generasi muda, khususnya generasi Z terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi selaras dengan usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi pembangunan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi