Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – SEGi University baru-baru ini melancarkan satu kempen anjuran pelajar bertajuk “kAIndness – Less Artificial, More Intelligence” bagi menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan bertanggungjawab dalam komunikasi.
Inisiatif yang dianjurkan oleh School of Communication and Creative Design (SoCCD) di SEGi University Kota Damansara itu menarik penyertaan lebih 200 pelajar daripada beberapa fakulti dan program akademik.
Dalam ucapan perasmiannya, Ketua SoCCD, Amir Heidi Askomi menyifatkan kempen tersebut sebagai satu pencapaian penting yang mencerminkan semangat inovasi, kreativiti dan komunikasi bertanggungjawab yang diketengahkan oleh sekolah berkenaan.
“AI sedang membentuk masa hadapan komunikasi dan masyarakat. Sekolah ini berhasrat melahirkan komunikator yang bukan sahaja mahir dari segi teknologi, tetapi juga dipandu oleh empati dan kesedaran etika dalam era digital,” katanya dalam majlis perasmian yang turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Stephen Sesaiah, Pengarah, Student Experience and Alumni.
Menurut Pensyarah Kanan, Puan Siti Norlida Roslan yang juga Penasihat Projek, program tersebut bertujuan untuk memanfaatkan AI demi menyokong komunikasi dan ekspresi emosi, di samping mendidik pelajar tentang amalan digital yang bertanggungjawab dan beretika.
Kempen tersebut diterajui oleh sekumpulan pelajar yang dikenali sebagai “kAInders” yang turut menganjurkan beberapa aktiviti praacara seperti permainan interaktif, pelibatan melalui media sosial dan inisiatif pengumpulan dana.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata AI boleh menjadikan manusia lebih manusiawi dengan membebaskan diri daripada tugas berulang dan memberikan lebih masa untuk menumpukan kepada empati, kreativiti dan hubungan sesama manusia.
“Apabila mesin mengendalikan analisis data, penjadualan atau tugas rutin, manusia boleh menyalurkan tenaga kepada perkara yang bermakna, pemikiran beretika dan penyelesaian masalah secara kreatif. AI juga boleh membantu kita memahami diri sendiri dengan lebih baik melalui analisis corak tingkah laku, kesihatan dan komunikasi”, katanya.
“Kesedaran ini boleh memupuk rasa belas ihsan serta refleksi diri. AI bukan menggantikan kemanusiaan, sebaliknya menonjolkan keunikan manusia dari aspek emosi, pertimbangan moral dan kemampuan bercerita. Dengan melengkapi keupayaan manusia, AI mendorong masyarakat menghargai hubungan yang lebih mendalam, tujuan hidup dan kreativiti”, tambahnya.
Seorang lagi penceramah, Mohamad Letfee Ahmad, mantan Ketua Berita, Bernama Radio dan Bernama TV berkata, penyeimbangan AI dan kemanusiaan dalam media moden memerlukan pengagihan peranan yang jelas antara teknologi dan manusia.
Jelasnya,
“AI boleh membantu dalam penyelidikan, pemprosesan data, penyuntingan dan analisis khalayak, sekali gus menjadikan penghasilan media lebih pantas dan efisien. Namun begitu, manusia perlu kekal bertanggungjawab terhadap penceritaan, keputusan etika, sensitiviti budaya dan pertimbangan editorial”.
“Ketelusan juga penting. Organisasi media boleh menetapkan garis panduan yang memastikan AI menyokong, bukan menggantikan, kreativiti manusia. Dengan menggabungkan kecekapan AI bersama dengan perspektif manusia, media moden dapat kekal dipercayai dan dimanfaatkan sebagai satu inovasi dalam teknologi,” katanya dalam kertas kerja bertajuk “Menyeimbangkan AI dan Kemanusiaan dalam Media Moden”.
Acara yang disertai oleh pelajar daripada program Komunikasi Massa, Bahasa Inggeris dan Perhubungan Awam, Pengurusan Perniagaan serta Teknologi Maklumat itu turut melibatkan kerjasama antara beberapa fakulti di SEGi.