Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Rawatan air sisa memainkan peranan penting dalam memelihara kelestarian sumber air serta melindungi kesihatan manusia daripada kesan pencemaran alam sekitar.
Pensyarah Kanan Unit Kimia, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Abu Hassan Nordin berkata, rawatan air sisa merujuk proses menyingkirkan bahan pencemar seperti bahan kimia, pepejal terampai, bahan organik dan mikroorganisma berbahaya daripada air buangan sebelum dilepaskan semula ke alam sekitar.

Menurut beliau yang juga Penyelaras Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) UiTM Cawangan Perlis, air sisa boleh berpunca daripada pelbagai sumber termasuk rumah kediaman, industri, hospital dan premis komersial.
Katanya,
Air sisa yang tidak dirawat dengan baik boleh mencemarkan sungai dan laut serta menjejaskan sumber air yang akhirnya digunakan semula untuk minuman, pertanian dan kegunaan harian.
Tambah beliau, pelepasan air sisa tanpa rawatan sempurna boleh menyebabkan air menjadi keruh, berbau, tidak selamat digunakan serta mengurangkan kandungan oksigen yang akhirnya mengancam kehidupan ikan dan hidupan akuatik lain.

Selain itu, bahan toksik dan bahan kimia berbahaya juga boleh terkumpul dalam rantaian makanan dan akhirnya memberikan kesan kepada kesihatan manusia.
Beliau menjelaskan bahawa sistem rawatan air sisa yang sistematik mampu menyingkirkan pelbagai bahan pencemar sebelum air dilepaskan semula ke sungai atau laut, sekali gus memastikan sumber air kekal bersih serta mengurangkan risiko penyakit bawaan air dan pendedahan kepada bahan toksik dalam jangka panjang.

Walaupun kesedaran masyarakat terhadap isu pencemaran air semakin meningkat, beliau berpandangan bahawa pemahaman tentang pengurusan air sisa masih belum menyeluruh.
Ujarnya,
Pencemaran air bukan sahaja berpunca daripada sisa industri, malah turut melibatkan sisa buangan dari rumah seperti minyak masak terpakai, ubat-ubatan atau sampah yang dibuang ke dalam longkang dan sinki.
Beliau berkata, tindakan kecil tersebut boleh memberikan kesan besar kepada pencemaran air sekiranya berlaku secara berterusan dan dalam masa yang sama, perkembangan teknologi rawatan air sisa turut memberikan manfaat kepada alam sekitar dan kehidupan manusia.
Melalui sistem rawatan moden di loji rawatan, air buangan daripada rumah, kilang dan premis perniagaan dapat dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke persekitaran, sekali gus mengurangkan bau, kekeruhan dan kandungan bahan berbahaya dalam air sisa serta membantu memastikan sungai lebih bersih dan mengurangkan risiko penyakit kepada masyarakat.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap isu ini, pendekatan pendidikan kreatif seperti pertandingan mencipta poster bertemakan alam sekitar turut dilaksanakan.
Menurut beliau, pendekatan visual membantu pelajar memahami isu rawatan air sisa dengan lebih baik kerana mereka perlu meneliti maklumat terlebih dahulu sebelum menyampaikan mesej melalui grafik dan slogan yang menarik.
Katanya,
Kaedah ini menjadikan mesej lebih mudah difahami dan diingati, sekali gus mendorong pelajar menjadi lebih peka dan bertanggungjawab terhadap penjagaan sumber air.
Beliau menegaskan bahawa usaha memelihara kebersihan sumber air merupakan tanggungjawab bersama-sama bagi menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
Tambahnya,
Seperti kata pepatah, mencegah itu lebih baik daripada merawat. Langkah pencegahan yang kecil tetapi konsisten jauh lebih berkesan dan menjimatkan berbanding usaha memulihkan sungai serta laut yang telah tercemar.
YBrs. Dr. Abu Hassan Nordin mengungguli empat anugerah pada Majlis Anugerah Semarak Sanjung 2024 anjuran Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Perlis, iaitu Anugerah Penyelidik Harapan: Sains Teknologi; Anugerah Aktif Penerbitan Jurnal (Emas): Sains Teknologi; Anugerah Sitasi Tertinggi 2024 (SCOPUS) dan Anugerah Penulis Harapan: Sains Teknologi.