Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), melalui anak syarikatnya, ELMU TVET Sdn. Bhd. bakal memperkenalkan kursus Penyelam Profesional dan Pengendalian Dron dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Berimpak Tinggi 2026 bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memperkasa sektor ekonomi biru serta meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Pengarah ELMU TVET Sdn. Bhd., YBhg. Datin Faiza Rosly berharap program itu dapat memenuhi keperluan industri strategik negara, khususnya dalam sektor maritim, keselamatan perairan, tenaga luar pesisir dan industri selaman profesional selaras dengan matlamat Dasar TVET Negara 2030.
Menerusi temu bual program “Apa Khabar Malaysia” terbitan BERNAMA TV, beliau berkata,
Program ini dirangka selaras dengan aspirasi negara untuk memperkukuh ekosistem TVET, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan kemahiran. Peserta yang menamatkan latihan berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia sebagai pengiktirafan kompetensi kebangsaan, di samping pelbagai sijil profesional mengikut bidang kursus.
Beliau turut menambah bahawa kedua-dua kursus berkenaan diperkenalkan bagi menyokong agenda pembangunan tenaga mahir negara dalam industri maritim dan teknologi dron yang semakin berkembang.
Mengulas lanjut, Datin Faiza yang juga Naib Presiden, Jualan Korporat dan Pembangunan Perniagaan Kumpulan, ELMU University berkata, Program Penyelam Profesional merangkumi teori selaman, prosedur keselamatan bawah air, penggunaan peralatan industri, pemeriksaan dan penyelenggaraan struktur marin serta pematuhan kepada standard keselamatan antarabangsa.
Tambahnya,
Latihan dalam bidang ini merangkumi sektor maritim, minyak dan gas, keselamatan, pemetaan industri serta pemantauan sumber laut, sekali gus memperkukuh pembangunan ekonomi biru negara. Peserta yang berjaya menjalani latihan dalam bidang Penyelam Profesional akan menerima pensijilan daripada Professional Association of Diving Instructors (PADI), manakala bagi kursus Public Safety Diver (PSD) pula, sijil dikeluarkan oleh International Association of Nitrox and Technical Divers.
Bagi latihan Pengendalian Dron pula, katanya, peserta didedahkan kepada aspek perundangan penerbangan, keselamatan operasi, asas aerodinamik, teknik pengendalian, pemetaan udara serta aplikasi industri termasuk pemantauan pesisir pantai.
Ujarnya,
Peserta yang berjaya menamatkan latihan pengendalian dron pula akan menerima pensijilan daripada Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) sebagai pengiktirafan pematuhan piawaian penerbangan awam. Pendekatan pelbagai pensijilan ini memberikan nilai tambah signifikan berbanding program TVET konvensional yang lazimnya menawarkan satu bentuk pensijilan sahaja.
Datin Faiza berkata, dalam usaha memperluas akses, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran menyediakan kemudahan pembiayaan latihan kepada pelajar yang layak.
Jelasnya,
Kemudahan pembiayaan ini bukan sahaja meningkatkan keterangkuman dalam pendidikan TVET, malah membantu memperkukuh imej TVET sebagai laluan kerjaya profesional yang diyakini, stabil dan berpotensi menghasilkan pendapatan kompetitif.