Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Methodist (MGSS) Kuantan melakar sejarah gemilang apabila berjaya dianugerahkan pensijilan berprestij, Green Flag Eco-Schools selepas melalui audit ketat yang berlangsung pada hari ini.
Pengiktirafan ini meletakkan MGSS Kuantan sebagai antara sekolah unggul dalam pelaksanaan pendidikan lestari bertaraf global menerusi program Eco-Schools Malaysia yang diterajui oleh Foundation for Environmental Education (FEE) dan dikendalikan di Malaysia oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF).
Sebagai rakan strategik kepada UN Greening Education Partnership, program Eco-Schools menyokong aspirasi global untuk menjadikan institusi pendidikan sebagai pemacu perubahan hijau dan pembangunan mampan.
Menerusi program ini, murid diberikan peluang bersuara dalam dasar pengurusan alam sekitar sekolah. Mereka bukan sekadar mempelajari teori, malah terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek lestari yang bukan sahaja membina rasa tanggungjawab dan pencapaian dalam kalangan pelajar, malah membawa mereka ke arah pensijilan dan pengiktirafan berprestij Green Flag.
Panel auditor diketuai oleh tokoh alam sekitar, YBrs. Encik Thiagarajan Nadeson, mantan Pengarah WWF Malaysia, bersama dengan YBrs. Dr. Jun Haslinda Haji Shariffuddin, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan turut diiringi oleh Encik Muhammad Daniel Azman dan Cik Nurul Faraziela Idi selaku Pegawai Program Pendidikan Hijau GGAF Negeri Pahang.
Program Eco-School MGSS bermula pada tahun 2023 dan telah melalui beberapa peringkat dan fasa. Berdasarkan soal selidik warga sekolah, tiga tema utama dipilih sebagai fokus utama, iaitu Pengurusan Air, Pengurusan Sisa dan Biodiversiti.
Audit yang dilaksanakan telah menilai pelbagai projek inovatif dan berimpak tinggi yang digerakkan oleh pasukan Eco Rangers MGSS, antaranya laluan pembelajaran interaktif Eco Quest Trail, pembangunan taman flora dan fauna, demonstrasi penghasilan cili jeruk sebagai projek keusahawanan hijau, demonstrasi Greencraft Bin (GcB), penghasilan baja kompos EcoFert, projek tanaman hidroponik dan sistem tuaian air hujan. Setiap projek dilaksanakan secara sistematik dengan dokumentasi lengkap serta impak jelas terhadap perubahan budaya hijau di sekolah.



Dalam ulasannya, Ketua Auditor, Encik Thiagarajan Nadeson memuji kualiti dokumentasi yang ditampilkan oleh pasukan Eco Rangers serta keberkesanan projek yang dijalankan.
Menurut beliau, projek yang diketengahkan sangat menarik dan memberikan manfaat nyata kepada warga sekolah serta komuniti selain turut mencadangkan beberapa penambahbaikan seperti pelibatan lebih menyeluruh seluruh warga sekolah termasuk pengusaha kantin dan pekerja pembersihan serta pelibatan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) secara lebih meluas yang dilihat sebagai langkah memperkukuh ekosistem kelestarian sekolah secara holistik.
Pengetua MGSS, Puan Josephine Hezrin Azhar, menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang membanggakan tersebut dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga sekolah, khususnya barisan guru dan ahli Eco Rangers yang diketuai oleh penyelaras program, Cikgu Ahmad Farihan Abdul Manan atas komitmen dan dedikasi luar biasa dalam menjayakan agenda kelestarian sekolah.
Menurut beliau, kejayaan ini menjadi simbol kesungguhan MGSS dalam mendidik generasi yang cakna alam sekitar dan bertanggungjawab terhadap masa hadapan bumi.
Ujarnya,
Anugerah Green Flag ini bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi manifestasi usaha kolektif warga sekolah dalam memupuk budaya lestari. Segala inisiatif ini dilaksanakan demi kelestarian alam sekitar yang berpanjangan.
Dengan penganugerahan Green Flag, MGSS Kuantan membuktikan bahawa sekolah harian biasa juga mampu berdiri sebaris dengan institusi bertaraf dunia dalam memperjuangkan pendidikan lestari seiring dengan slogan ”Sekolah Harian Biasa, Pencapaian Luar Biasa”.
