Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel, inklusif dan responsif terhadap keperluan pasaran kerja global, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan MICROCASA International Conference 2026, persidangan antarabangsa yang memberikan tumpuan kepada peranan kelayakan mikro (microcredential) dan pembelajaran sepanjang hayat dalam pembangunan modal insan mampan.
Persidangan dua hari yang berlangsung dari 3 hingga 4 Februari 2026 itu menghimpunkan ahli akademik, pembuat dasar serta wakil industri dari dalam dan luar negara bagi membincangkan pendekatan inovatif dalam pembangunan kapasiti, transformasi digital dan pengiktirafan kelayakan pendidikan, sejajar dengan keperluan semasa ekonomi berasaskan pengetahuan.
Bertemakan Shaping the Future of Learning: Microcredentialing for Sustainable Skills and Employability in Southeast Asia, persidangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif projek ERASMUS+ Capacity Building in Higher Education bertajuk “MICRO-credentials for Life-long Learning and Employability: Building Capacities for Developing Agile Educational Interventions in Southeast Asian Universities”, iaitu geran pembangunan kapasiti pendidikan tinggi selama tiga tahun yang melibatkan kerjasama institusi serantau dan antarabangsa.
Persidangan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), USM dan ucapan perasmian oleh Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, menerusi mesej video rakaman, yang menekankan kepentingan kelayakan mikro sebagai instrumen strategik dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dan daya saing tenaga kerja serantau.

Syarahan utama bertajuk “Use-inspired University Teaching through Microlearning and Microcredentials” telah disampaikan oleh Profesor Armin Weinberger, yang menegaskan keperluan integrasi pembelajaran mikro dan kelayakan mikro dalam pengajaran universiti berteraskan keperluan sebenar masyarakat serta industri, selaras dengan perubahan landskap pekerjaan global.
Persidangan ini turut menampilkan sesi panel “Microcredentials and Regional Policy” yang membincangkan aspek dasar, jaminan kualiti serta pengiktirafan kelayakan mikro pada peringkat serantau, melibatkan wakil ASEM Education Secretariat, CIMEA–NARIC Itali dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Perspektif industri pula diketengahkan melalui sesi perkongsian mengenai peranan kecerdasan buatan (AI) dalam memastikan kualiti, kebolehcapaian dan keberkesanan pembelajaran sepanjang hayat.
Selain perbincangan dasar dan syarahan utama, persidangan ini turut menyediakan platform pembentangan kertas kerja dan pameran poster yang merangkumi isu reka bentuk pembelajaran, inovasi digital, pengiktirafan kelayakan serta pembangunan dasar pendidikan tinggi.
Pada hari kedua, persidangan diteruskan dengan beberapa syarahan utama yang membincangkan kelayakan mikro sebagai format pendidikan abad ke-21, merangkumi aspek perundangan, tadbir urus dan perlindungan hak, di samping sesi panel yang memfokuskan kelestarian serta transformasi digital dalam pendidikan tinggi.
Penganjuran MICROCASA International Conference 2026 di USM mencerminkan komitmen berterusan institusi tersebut dalam menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat serta memperkukuh ekosistem kelayakan mikro yang berkualiti, diyakini dan diiktiraf, sejajar dengan aspirasi pembangunan modal insan dan daya saing negara pada peringkat serantau dan global.