Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Japan Atomic Energy Agency (JAEA) telah menganjurkan Program 13th National Training Course 2026 (NTC2026) sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh kerjasama Malaysia–Jepun, khususnya dalam bidang keselamatan nuklear dan radiologi.
“Komitmen berterusan Agensi Nuklear Malaysia dan JAEA dalam memperkukuh kerjasama strategik merangkumi pembangunan modal insan, pengukuhan aspek keselamatan nuklear serta peningkatan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi kecemasan radiologi,” ujar Pengarah Kanan (Program Pengurusan), Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Shukri Mohd ketika merasmikan program berkenaan.

Dalam majlis yang sama, wakil JAEA, Pengurus Besar, Integrated Support Centre for Nuclear Non-proliferation and Security, Ms. Noro Naoko turut diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucapan.
NTC2026 merupakan program kerjasama dua hala di bawah Instructor Training Programme yang dikendalikan oleh JAEA dan kini memasuki tahun ke-30 penganjurannya.
Program ini dilaksanakan selama dua minggu bermula 3 Februari 2026 hingga 13 Februari 2026 dengan penyertaan sebanyak 53 orang peserta yang merangkumi bidang reactor engineering, nuclear and radiological emergency preparedness serta environmental radioactivity monitoring.
Penyertaan program ini juga melibatkan wakil daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
Program ini turut disertai oleh wakil institusi pengajian tinggi dan institusi latihan, misalnya Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Multimedia University, Tenaga Nasional Berhad Research dan TNB Integrated Learning Solutions Sdn. Bhd., di samping pelibatan wakil industri serta syarikat swasta.
Penganjuran NTC2026 ini mencerminkan komitmen berterusan Agensi Nuklear Malaysia dalam memperkukuh keupayaan teknikal dan profesional negara dalam bidang nuklear dan radiologi, selaras dengan keperluan keselamatan negara serta amalan terbaik pada peringkat antarabangsa.