Diterbitkan pada 21 Januari 2026, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kedah – Sekumpulan pelajar dari University of Tasmania (UTAS), Australia telah melawat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk mempelajari secara langsung amalan kelestarian dalam penanaman padi, penggunaan teknologi pertanian moden serta peranan sektor padi dalam memastikan keselamatan makanan negara menerusi Program UniGo 2026 yang dianjurkan oleh pihak Universiti Sains Malaysia (USM).

Lawatan akademik dan pembelajaran melalui pengalaman ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar antarabangsa mengenai sistem pertanian tropika, khususnya pengurusan penanaman padi secara mampan yang dilaksanakan oleh MADA selaku agensi utama pembangunan pertanian di Kedah yang merupakan antara jelapang padi utama negara.

Sepanjang lawatan, para pelajar telah mengikuti sesi taklimat berkaitan dengan pengurusan pengairan bersepadu, amalan pertanian lestari serta cabaran sektor pertanian dalam mendepani perubahan iklim.

Para peserta turut menyaksikan demonstrasi penanaman padi dan penggunaan dron dalam pemantauan tanaman serta pengurusan ladang, selaras dengan pendekatan pertanian pintar yang sedang giat dilaksanakan oleh pihak MADA.

Program tersebut turut dikaitkan dengan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 2: Sifar Kelaparan, SDG 12: Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawab, SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat melalui usaha memperkukuh keselamatan makanan dan kerjasama akademik antarabangsa.

Pihak USM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Puan Sharifah Nur Alia Syed Mansor atas sambutan yang amat baik sepanjang lawatan ini dan penghargaan turut dizahirkan kepada semua pegawai MADA yang telah memberikan taklimat komprehensif serta mengendalikan demonstrasi penanaman padi dengan berkesan.

Lawatan ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar UTAS di luar bilik kuliah, malah memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa antara USM dengan institusi luar negara dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta pembangunan lestari.

Pelajar UTAS diberikan peluang untuk mempelajari cara menanam padi yang betul.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi