Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Transformasi OKU Universiti Sains Malaysia – Majlis Agama Islam Kelantan (USM–MAIK) memeterai surat hasrat atau letter of intent (LOL) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang sains kesihatan, rehabilitasi dan pemerkasaan golongan orang kurang upaya (OKU).
Majlis menandatangani surat hasrat tersebut berlangsung di Bilik Aktiv, Blok H, Aras 2, UKM Kampus Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar serta Ketua Pusat Transformasi OKU USM–MAIK, YBrs. Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.
Kerjasama ini membuka peluang kepada pelajar dan kakitangan akademik untuk mengikuti latihan industri dan latihan klinikal, di samping memperkasakan pembangunan profesional dalam bidang sains kesihatan dan rehabilitasi.
Kolaborasi ini turut memberikan tumpuan kepada pengukuhan penyelidikan bersama melalui pelaksanaan inisiatif penyelidikan kolaboratif bagi menangani cabaran semasa penjagaan kesihatan, khususnya dalam bidang rehabilitasi dan pemerkasaan golongan OKU.
Perkongsian ilmu dan kepakaran akan dilaksanakan menerusi penganjuran seminar, bengkel dan simposium secara bersama, selain pelibatan dalam projek pembangunan program pendidikan serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Dalam rangka lawatan rasmi tersebut, delegasi turut melawat Klinik Sihat Fakulti Sains Kesihatan bagi meninjau operasi serta pelaksanaan perkhidmatan yang menyokong latihan klinikal, penyelidikan dan khidmat komuniti berasaskan kepakaran multidisiplin.

Lawatan itu turut memberikan pendedahan secara langsung terhadap peranan klinik sebagai platform aplikasi amali dan pemindahan ilmu kepada pelajar serta pengamal profesional.
Delegasi juga dibawa melawat projek inovasi ParafitGo Wheelchair Treadmill, iaitu inovasi hasil pembangunan FSK yang memfokuskan sokongan latihan fizikal dan rehabilitasi bagi pengguna kerusi roda.

Inisiatif ParafitGo Wheelchair Treadmill mencerminkan komitmen FSK dalam pembangunan inovasi berimpak tinggi serta berpotensi diperluas melalui kerjasama strategik bersama-sama Pusat Transformasi OKU USM–MAIK.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua institusi dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat yang memberikan impak kepada pembangunan ilmu, kesejahteraan komuniti dan pemerkasaan golongan OKU.