Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKubang Kerian – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadikan Pusat Transformasi OKU USM–MAIK dan Program Return to Work (RTW), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) sebagai model rujukan dalam usaha memperkasakan pembangunan perkhidmatan komprehensif untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Sebanyak 11 orang delegasi dari FSK, UKM yang diketuai oleh Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar telah mengadakan lawatan penanda arasan bagi menilai pelaksanaan perkhidmatan serta mengenal pasti amalan terbaik yang boleh diadaptasi di UKM.
Delegasi FSK, UKM disambut oleh Ketua Pusat Transformasi OKU USM–MAIK, YBrs. Dr. Mohd. Zulkifli Abdul Rahim yang berkongsikan pengalaman mengenai pelaksanaan pelbagai program pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran OKU.
Lawatan tersebut memberikan peluang kepada delegasi FSK, UKM untuk meneliti pendekatan inovatif yang dilaksanakan oleh pihak USM dalam usaha memperkasakan golongan OKU melalui penyediaan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan tahap keupayaan dan kemahiran mereka.
Selain itu, delegasi FSK, UKM turut diberikan pendedahan mengenai Program RTW, HPUSM yang merupakan inisiatif kerjasama bersama-sama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam menyediakan rawatan pemulihan intensif berasaskan teknologi robotik kepada pesakit yang mengalami kecederaan fizikal.
Sesi lawatan ke bilik rawatan robotik yang diiringi oleh Penyelaras Unit Pemulihan Perubatan HPUSM, YBrs. Profesor Madya Dr. Muhammad Hafiz Hanafi membolehkan delegasi FSK, UKM meneliti penggunaan teknologi terkini dalam membantu pesakit kembali bekerja dan menjalani kehidupan yang lebih produktif.

Hasil penanda arasan ini memberikan impak yang positif terhadap perancangan pembangunan perkhidmatan yang lebih berfokuskan keperluan semasa OKU serta membuka ruang kepada pelbagai potensi kerjasama strategik.
Perkongsian pengalaman mengenai cabaran mewujudkan dan mengendalikan program berkaitan dengan OKU turut meningkatkan tahap kesiapsiagaan delegasi FSK, UKM dalam merealisasikan pelaksanaan perkhidmatan seumpamanya di universiti berkenaan.
Semasa sesi akhir lawatan, kedua-dua pihak berkesempatan membincangkan peluang kolaborasi yang merangkumi pemindahan ilmu, perkongsian kepakaran serta pembangunan perkhidmatan secara berterusan bagi menjamin kesinambungan kerjasama untuk jangka masa panjang.