Diterbitkan pada 1 Januari 2026, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hulu Langat – Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menganjurkan Kem WIJA Dietetik 2025 sebagai platform pembangunan sahsiah, kepimpinan dan jati diri mahasiswa.

Program yang bertemakan “Wawasan, Integriti, Jati Diri dan Amanah” itu berlangsung selama dua hari di Lembah Azwen Resort dan melibatkan sebanyak 34 orang pelajar Dietetik Tahun Dua hingga Tahun Empat dengan sokongan sembilan orang fasilitator yang terdiri daripada pensyarah dietetik, pelajar pascasiswazah serta wakil ASASI Pintar UKM.

Menurut Pengarah Program, YBrs. Profesor Madya Dr. Nik Shanita Safii, program tersebut dianjurkan untuk membina keyakinan diri, daya tahan serta kemahiran kepimpinan mahasiswa dalam menghadapi cabaran akademik dan kerjaya, di samping memupuk semangat setia kawan dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.

Pensyarah Kanan Program Dietetik dan Pengerusi Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH), UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Nik Shanita Safii ketika memberikan ucapan alu-aluan dalam Kem WIJA Dietetik UKM 2025.

Pengisian program dimulakan dengan slot Aktiviti Dinamik Kumpulan I: Membina Identiti Pasukan yang dikendalikan oleh fasilitator, Puan Siti Junaina Musa, Puan Nerosha Nair A/P Gunasegaran dan Encik Eusoff Uthman Zyad Abdoul Karim Toure bagi mengukuhkan kesepaduan kumpulan melalui pembentukan identiti, peranan dan matlamat pasukan secara kolaboratif.

Sesi pembentangan identiti kumpulan kepada fasilitator dalam slot Aktiviti Dinamik Kumpulan 1: Membina Identiti Pasukan.

Seterusnya, program diteruskan dengan slot Aktiviti Dinamik Kumpulan II yang diketuai oleh YBrs. Dr. Fatin Hanani Mazri menerusi aktiviti interaktif seperti Traffic Jam Game, Tic Tac Toe dan Da Vinci Doodles yang mencabar pemikiran strategik, kreativiti serta keupayaan komunikasi dan kepimpinan peserta melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.

Slot Aktiviti Dinamik Kumpulan II yang merangkumi tiga aktiviti interaktif bersama-sama YBrs. Dr. Fatin Hanani Mazri.
Sekitar berlangsungnya aktiviti berkumpulan yang dikendalikan oleh para fasilitator.

Selain itu, aktiviti luar berbentuk sukan air turut menjadi komponen utama dalam program berkenaan yang merangkumi latihan keyakinan air, lintasan air dan aktiviti merakit yang memberikan pendedahan kepada teknik keselamatan asas, kawalan diri serta pengukuhan keberanian dan kesepaduan pasukan dalam persekitaran yang mencabar.

Latihan keyakinan air dijalankan bersama-sama jurulatih dari Lembah Azwen Resort.
Aktiviti merakit bersama-sama jurulatih dan fasilitator.

Pada sebelah malam, program diteruskan dengan aktiviti refleksi kendiri yang bertemakan “Discovering WIJA within Yourself” yang memberikan ruang kepada peserta untuk berkongsikan pengalaman, aspirasi dan perasaan secara terbuka dalam kumpulan kecil dengan bimbingan fasilitator sebagai sokongan emosi dan motivasi.

Hari kedua program diserikan dengan kerjasama Kumpulan INSAAN, UKM melalui tiga sesi utama, iaitu Synergy Challenge Workout, Self-development Session dan Mental Well-being Session yang dikendalikan oleh Encik Bisharuzi, Encik Fadle dan Encik Amirul bagi memperkukuh kesejahteraan mental, pembangunan kendiri dan nilai positif dalam kalangan peserta.

Sesi Synergy Challenge Workout yang dikendalikan oleh pelatih INSAAN, UKM.
Antara aktiviti yang berlangsung dalam sesi Self-development.

Majlis penutupan program menyaksikan tayangan video montaj program serta penyampaian anugerah kepada individu dan kumpulan cemerlang dalam kategori Best Time Management, Best Group Synergy, Most Creative Team, Best Leadership serta Boundaries Breaker Award sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan kepimpinan para peserta.

Program diakhiri dengan ucapan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan, Industri dan Masyarakat, FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Zahara Abdul Manaf yang menyeru para peserta agar terus mengamalkan nilai kepimpinan, integriti dan kerja berpasukan dalam akademik serta kehidupan seharian.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektif penganjuran dalam membentuk graduan dietetik yang berwawasan, berdaya tahan dan berdaya saing serta program seumpama ini sewajarnya diteruskan pada masa hadapan dengan penambahbaikan yang berterusan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi