Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSurabaya– Latihan pengimejan perubatan yang terancang dan berasaskan sains serta teknologi menjadi fokus utama program Pensijilan Pengimejan Perubatan Lanjutan Asia Pasifik (Asia Pacific Advance Medical Imaging Certification Course) anjuran Universitas Airlangga dengan kerjasama FUJIFILM Asia Pacific Healthcare Learning Academy (FAHLA).
Program selama tiga hari ini berlangsung di Majapahit Hall, Aseec Tower dan Radiology Learning Center, Faculty of Vocational Studies, Universitas Airlangga (UNIAR), dengan penyertaan peserta dari beberapa negara termasuklah Indonesia, Vietnam, Filipina, Myammar dan Malaysia.
Program ini juga melibatkan penceramah dan wakil industri dari Universitas Airlangga, Universiti Putra Malaysia, ALTY Hospital Malaysia dan FUJIFILM.
Menurut penganjur, penggunaan sistem Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Computed Tomography (CT) yang semakin meluas menuntut latihan profesional yang serius.
Pengendali bukan sekadar perlu tahu menekan butang, tetapi memahami prinsip fizik, parameter teknikal dan perisian supaya imej yang terhasil benar-benar membantu doktor membuat keputusan klinikal yang tepat dan selamat untuk pesakit.
Selain itu, tetapan (setting) pada mesin memberikan kesan langsung kepada kualiti imej dan dos radiasi bagi CT.
Jika latihan tidak tersusun, pengendali mudah bergantung pada kebiasaan, sekali gus membuka ruang kepada kesilapan interpretasi dan dos radiasi berlebihan kepada pesakit. Atas sebab itu, modul disusun dalam bentuk kuliah, perbincangan kes dan latihan amali supaya peserta dapat mengaitkan teori dengan situasi sebenar di tempat kerja.
Peringkat pertama program memberikan tumpuan kepada asas teknologi pengimejan dalam CT dan MRI. Peserta diperkenalkan tentang proses penghasilan imej, pemilihan protokol dan cara mengoptimumkan kualiti imej. Penceramah utama, Profesor Dian Anggraini Dwi mengingatkan peserta supaya tidak mengambil mudah pemilihan tetapan teknikal dalam sesuatu prosedur pengimejan.
Beliau berkata,
Setiap tetapan memberikan kesan jelas terhadap imej. Pengendali perlu memahami setiap langkah supaya pemeriksaan memberikan maklumat yang tepat.
Penjelasan ringkas ini merangkumi mesej utama program, iaitu penguasaan ilmu sains dan teknologi menjadi tunjang kepada mutu dan kualiti perkhidmatan radiologi.
Sesi ini turut menyentuh penyediaan tapak pemasangan, syarat infrastruktur dan penyelenggaraan berkala.
Penganjur menekankan keperluan jaminan kualiti yang konsisten supaya MRI dan CT berfungsi mengikut piawaian antarabangsa dan memenuhi keperluan audit.

Topik keselamatan pula memfokuskan risiko radiasi CT serta medan magnet tinggi dalam MRI, berasaskan garis panduan fizik perubatan.
“Penjelasan keselamatan membantu saya memahami risiko yang sering tidak diberi perhatian. Saya lebih jelas tentang tanggungjawab pengendali dalam melindungi pesakit,” kata seorang peserta tempatan ketika ditemui selepas sesi ini.
Peringkat kedua latihan mengambil masa selama dua hari dan dilakukan di Radiology Learning Center, Faculty of Vocational Studies, UNIAR yang memfokuskan dua topik utama. Latihan pada hari pertama tertumpu pada CT, khususnya anatomi dan patologi yang melibatkan bahagian otak, dada, abdomen, pelvis dan salur darah. Peserta meneliti imej kes sebenar, persediaan pesakit dan pemilihan protokol mengikut keperluan klinikal. Hari terakhir pula memberikan tumpuan pada MRI, yang melibatkan pemilihan sequences protocol dan analisis imej klinikal bagi otak, tulang belakang (spine) dan sistem muskuloskeletal.
“Kami mahu peserta faham bahawa keputusan teknikal menentukan kemampuan imej memberikan maklumat diagnostik tepat,” ujar salah seorang penganjur ketika merumuskan objektif keseluruhan program.

Sebagai penutup, wakil FUJIFILM dan FAHLA, Encik Esnu Halim berkongsi perkembangan terkini sistem MRI dan CT generasi baharu, termasuk penggunaan perisian kecerdasan buatan, teknik pengurangan dos, kecekapan tenaga serta implikasi kos dan penyelenggaraan. Perbincangan ini memberikan gambaran yang lebih luas kepada peserta yang terlibat dalam pengurusan peralatan dan perancangan pelaburan teknologi di hospital.
Kerjasama antara UNIAR dengan FAHLA menjadikan program ini platform pendidikan serantau yang penting dalam bidang sains dan teknologi pengimejan perubatan. Ilmu dan pengalaman yang diterima oleh peserta diharapkan akan diterjemahkan kepada amalan yang lebih selamat, tepat dan berkesan di hospital serta pusat perubatan masing-masing.