Diterbitkan pada 5 Disember 2025, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima kunjungan ilmiah daripada 12 orang pelajar tahun akhir Sarjana Muda Penjagaan Kesihatan (Optometri) dari Metropolia University of Applied Sciences, Finland untuk melihat dengan lebih dekat latihan klinikal dan perkhidmatan di Klinik Optometri UKM, Kampus Kuala Lumpur.

Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan, UKM, YBrs. Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin dalam ucapannya menekankan kepentingan kerjasama global dalam memperkukuh pembangunan ilmu optometri serta peranan bidang tersebut untuk memelihara kesihatan penglihatan masyarakat.

Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan, UKM, YBrs. Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sesi diteruskan dengan pembentangan oleh Pegawai Optometri, UKM, Puan Nur Adibah Yahaya yang memberikan penerangan tentang sejarah bidang optometri di Malaysia, struktur kurikulum, peluang latihan klinikal dan fokus penyelidikan fakulti.

Pengarah Persatuan Mahasiswa Optometri (PMO), Encik Muhammad Hafizuddin K.M. Najmul turut memperkenalkan peranan PMO dalam penyelarasan aktiviti pelajar dan kebajikan serta berkongsikan video ringkas berkenaan dengan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun 2024 hingga tahun 2025.

Selepas sesi pembentangan, para pelajar melawat sekitar klinik berkenaan untuk meninjau kemudahan dan perkhidmatan seperti optometri primer, kanta sentuh, penglihatan binokular, penglihatan terhad, pediatrik, elektrofisiologi, mata prostetik, ophthalmic dispensary dan klinik optometri bergerak.

Sesi penerangan tentang perkhidmatan di Klinik Optometri, UKM oleh Puan Nur Adibah Yahaya.

Wakil pelajar dari Finland, Mia Jeskanen menyatakan bahawa kunjungan tersebut memberikan peluang kepada mereka untuk memahami skop latihan klinikal dan kepelbagaian perkhidmatan optometri di UKM.

Sesi pertemuan itu juga membincangkan perbezaan struktur pengajian, iaitu program di Metropolia University of Applied Sciences yang dijalankan selama tiga tahun setengah dengan dua pengambilan setahun, manakala UKM menawarkan program empat tahun dengan sekali pengambilan dalam setahun.

Selain mengukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua institusi, kunjungan ilmiah tersebut juga membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan, pertukaran pelajar dan mobiliti latihan industri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi