Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNakhon Si Thammarat – Pelajar Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) telah melaksanakan program mobiliti akademik berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) melalui kunjungan rasmi ke Walailak University pada 19 November 2025 hingga 21 November 2025.
Kunjungan tersebut disambut mesra oleh Pengarah Pejabat Perhubungan Antarabangsa Walailak University, YBrs. Dr. Patnarin Supakorn yang mengatur pelbagai program akademik dan silang budaya bagi menyokong objektif pembelajaran mobiliti.

Sesi pembukaan dimulakan dengan pengenalan rasmi jabatan di Walailak University secara bersemuka dan dalam talian yang memberikan pendedahan tentang struktur organisasi, rangka kerja penyelidikan serta projek strategik universiti dalam bidang sains sosial, teknologi dan kelestarian.
Interaksi awal ini membuka ruang kefahaman tentang peranan institusi pendidikan tinggi dalam memacu agenda pembangunan mampan berasaskan data, inovasi dan model operasi rendah karbon.
Komponen utama program tersebut ialah sesi pembentangan oleh pelajar PPPJJ, USM mengenai amalan SDG di tempat kerja masing-masing yang menampilkan penyelesaian saintifik dan inovasi pengurusan merentasi pelbagai sektor.

Dalam program tersebut, wakil Universiti Malaysia Sarawak, iaitu Puan Noorhabsa dan Puan Sheela membentangkan inisiatif pengurangan sisa dan pembangunan kampus hijau melalui penggunaan teknologi digital.
Wakil dari Jabatan Imigresen Malaysia, Puan Marlina pula mengetengahkan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan melalui automasi dan integriti data.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia yang diwakili oleh Encik Jeplugon membincangkan pengurusan sisa klinikal serta strategi promosi kesihatan berasaskan bukti.
Secara keseluruhannya, sesi pembentangan berkenaan mencerminkan keupayaan pelajar mengguna pakai prinsip SDG dalam konteks sebenar serta menganalisis keberkesanannya melalui pendekatan saintifik dan metrik impak.
Sesi perbincangan bersama-sama kakitangan Walailak University telah mewujudkan platform wacana profesional mengenai integrasi SDG dalam sektor pendidikan, kesihatan, pentadbiran awam dan industri.
Pertukaran idea dalam program itu telah memperkukuh kefahaman peserta tentang metodologi pelaksanaan SDG yang praktikal dan berasaskan kajian serta mengambil kira cabaran sosioekonomi setempat.
Selain memberikan nilai akademik yang signifikan kepada pelajar PPPJJ, USM dengan mendedahkan mereka kepada amalan terbaik dan penyelidikan SDG pada peringkat antarabangsa, program tersebut turut membuka peluang kolaborasi merentas institusi dalam bidang penyelidikan, pembangunan komuniti dan pengurusan kelestarian.
Interaksi dua hala ini juga memperkukuh jaringan akademik antara Malaysia dengan Thailand, sekali gus menyumbang kepada pemerkasaan budaya penyelidikan yang mampan dan berpaksikan sains.