Diterbitkan pada 16 Oktober 2025, 18:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selangor – Dalam usaha memperkukuh kemahiran insaniah, meningkatkan daya kepimpinan dan memberikan ruang untuk refleksi perkembangan pengajian dalam suasana kondusif luar kampus berteraskan tema “Reflect, Refine, Recharge”, sebanyak 18 orang pelajar siswazah dari Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyertai Bengkel Pemantapan Siswazah “Corespiration” selama dua hari satu malam di Agrotek Garden Resort, Hulu Langat, Selangor.

Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Asmah Hamid selaku penasihat program, pendekatan luar kampus dipilih bagi memberikan nafas baharu di luar rutin kebiasaan, sekali gus merangsang refleksi yang lebih berkesan terhadap kemajuan akademik para pelajar agar mereka kekal fokus dalam perjalanan pengajian mereka.

YBrs. Profesor Madya Dr. Asmah Hamid ketika merasmikan Bengkel Pemantapan Siswazah “Corespiration”.

Program dimulakan dengan slot “Strategi Sasaran Juara” oleh YBrs. Dr. Nurul Farhana Jufri yang memberikan panduan untuk membentuk mentaliti juara dan daya saing pelajar, diikuti dengan “Bengkel Penulisan Popular” yang menekankan kepentingan penyelidik dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat dengan berkesan serta sesi “FameLab Journey” oleh Raveena Vaidheswary a/p Muralitharan yang berkongsikan pengalaman memenangi Audience Choice Award di FameLab Malaysia National Final 2023.

Slot “Strategi Sasaran Juara” dan “Bengkel Penulisan Popular” yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Nurul Farhana Jufri.
Raveena Vaidheswary a/p Muralitharan berkongsikan pengalamannya memenangi Audience Choice Award menerusi slot “FameLab Journey”.

Sebagai usaha untuk memperkasakan kemampuan penerbitan pelajar, bengkel tersebut turut menyediakan sesi “Smart Publishing: Tips and Tools” yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Vanitha Mariappan yang memberikan pendedahan mengenai penulisan artikel yang produktif serta strategik dalam penyelidikan sebelum diteruskan dengan aktiviti pembentukan kumpulan serta latihan dalam kumpulan dan riadah.

Sesi “Smart Publishing: Tips and Tools” disampaikan oleh YBrs. Dr. Vanitha Mariappan.
Sekitar aktiviti berkumpulan berlangsung.

Aktiviti kemuncak bengkel berkenaan ialah “Pitch Perfect Fiesta: 180 Seconds” yang mencabar para pelajar untuk membentangkan idea penyelidikan secara padat dan meyakinkan dalam masa tiga minit sebelum diteruskan dengan sesi “Ignite Your Potential” oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Asmah Hamid yang menekankan kesedaran tentang potensi diri serta aktiviti “Mind Exploration” yang dikendalikan oleh Puan ChM. Atiah Ayunni Abdul Ghani dan Puan Mazlin Aman untuk menguji pemikiran kreatif, kritis dan kebolehan pelajar untuk menyelesaikan masalah dengan interaktif.

Sesi “Ignite Your Potential” oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Asmah Hamid.
Para peserta ketika menyertai aktiviti “Mind Exploration”.

Pada masa yang sama bengkel tersebut turut menyelitkan elemen kesejahteraan pelajar melalui sesi “Refresh Your Body: Recharge Your Mind” yang diadakan pada waktu pagi dengan senaman dan sukan darat sebagai usaha menyeimbangkan kecemerlangan akademik dan kesihatan menyeluruh sebelum diakhiri dengan sesi “Reaching for the Stars” oleh YBrs. Profesor Dr. Ahmad Rohi Ghazali yang memberikan motivasi mendalam dalam menetapkan matlamat akademik dan kerjaya serta pelan tindakan yang realistik untuk masa hadapan.

Aktiviti “Refresh Your Body: Recharge Your Mind”.
Sesi “Reaching for the Stars” oleh YBrs. Profesor Dr. Ahmad Rohi Ghazali.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi