Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Jabatan Pertanian Negeri Selangor telah memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan (MGSS) sebagai satu daripada destinasi lawatan dalam rangka program Lawatan Projek Pertanian Bandar dan Projek Bimbingan Pertanian Bandar Negeri Pahang.
Sebanyak 40 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Selangor, peserta projek pertanian bandar, wakil agensi kerajaan serta guru sekolah terlibat dalam lawatan tersebut yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Encik Wan Muhammad Zulkarnain Baharuddin.
Ketibaan delegasi tersebut disambut mesra oleh Pengetua MGSS, Puan Josephine Hezrin Azhar bersama-sama Penolong Kanan Pentadbiran MGSS, Puan Rosita Mat Dahan; Penolong Kanan Kokurikulum MGSS, Encik Syed Azmi Syed Ismail; guru Eco School serta kumpulan murid Eco Rangers yang menjadi tulang belakang kepada projek pertanian sekolah berkenaan.
Encik Wan Muhammad Zulkarnain Baharuddin dalam ucapannya berkata, tujuan utama lawatan ini adalah untuk bertukar pandangan dan menimba pengalaman mengenai pelaksanaan pertanian bandar di negeri lain.
Menurut beliau,
Pada masa ini, Selangor memfokuskan projek tanaman halia dan kunyit sebagai langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan pada pengimportan yang kini mencecah 20 ribu tan metrik setahun, sekali gus mendorong pihak kami untuk membekalkan 200 bakul benih halia kepada sekolah terpilih untuk diusahakan secara sistematik.
Beliau turut mencadangkan agar MGSS mengadakan lawatan balas ke Jabatan Pertanian Negeri Selangor bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara dua negeri.

Sementara itu, Puan Josephine Hezrin Azhar menyatakan bahawa projek Tanaman Teknik Lapisan Nutrien atau Nutrient Film Technique (NFT) Hidroponik yang dijalankan di MGSS merupakan hasil kerjasama erat dengan Jabatan Pertanian Negeri Pahang dan Pejabat Pertanian Daerah Kuantan melalui Program Pembangunan Pertanian Komuniti.
Ujarnya,
Sejak Jun lalu, kami mengusahakan lima set NFT hasil sumbangan dari Jabatan Pertanian Negeri Pahang dengan tanaman sawi dan sawi putih, namun kini beralih kepada kangkung dan salad.
Tambah beliau, projek berbentuk pendidikan lestari yang diurus sepenuhnya oleh ahli Eco Rangers di bawah bimbingan dua orang guru pembimbing, iaitu Puan Roshlinda Abu Hassan dan Puan Maya Mazreena Banging itu berupaya membimbing murid menambah ilmu mengenai kitaran tumbuhan, ekonomi kecil dan tanggungjawab terhadap alam.
Seterusnya, pembentangan projek NFT Hidroponik oleh dua orang wakil Eco Rangers, iaitu Puteri Sha’era Qaseh Khairil Anizan dan Nazaneen Muhammad Adib turut mencuri perhatian delegasi yang hadir kerana kedua-duanya menerangkan proses semaian, penyediaan baja, penjagaan harian dan kaedah penuaian dengan penuh keyakinan.

Yang menariknya, hasil tanaman seperti sawi dan sawi putih yang diusahakan telah dituai sebanyak empat kali sejak Jun lalu dan dijual kepada guru serta pengusaha kantin sekolah, sekali gus menjadikannya sebagai satu bentuk mini ekonomi hijau yang menghidupkan semangat keusahawanan dalam kalangan murid.
Lawatan tersebut diteruskan dengan sesi tinjauan ke taman hidroponik dan kawasan tanaman kunyit, cili serta nanas di sekitar sekolah, sekali gus membuktikan bahawa persekitaran di sekolah boleh diubah menjadi kebun ilmu dan sumber rezeki.

Program santai tersebut menjadi simbol perkongsian ilmu hijau antara dua negeri kerana MGSS bukan sahaja menjadi sekolah perempuan berjiwa hijau, tetapi juga model pendidikan lestari yang menggabungkan ilmu akademik dan praktikal pertanian.

Dengan adanya semangat daripada warga Eco School dan komitmen dari Jabatan Pertanian Negeri Selangor, kerjasama ini diyakini akan terus subur dan menyemai kesedaran bahawa masa hadapan pertanian negara bergantung pada generasi muda yang mencintai bumi dan menghargai hasilnya.