Diterbitkan pada 15 Oktober 2025, 09:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan kimia dan memastikan pematuhan undang-undang penggunaan bahan kimia berbahaya kepada kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan bengkel latihan bertajuk Daftar Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan dan Inventori Bahan Kimia serta Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan Secara Kendiri (SeCHRA).

Program yang disertai oleh 15 orang kakitangan makmal yang terdiri daripada pegawai sains, pegawai penyelidik, penolong pegawai sains dan juruteknologi makmal perubatan itu merupakan anjuran Unit Tindakan Kecemasan (Kimia) di bawah Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penganjuran bengkel ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta mengenai keperluan undang-undang berkaitan daftar dan inventori bahan kimia serta pendedahan terhadap pelaksanaan penaksiran risiko bahan kimia melalui sistem SeCHRA.

YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang selaku Penyelaras Unit Tindakan Kecemasan (Kimia), FSK, UKM ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Menerusi bengkel tersebut, kakitangan makmal di universiti ini dapat mengemas kini rekod daftar dan inventori bahan kimia berdasarkan perundangan yang ditetapkan dan dapat mengetahui risiko awal penggunaan bahan kimia ketika menjalankan amali pengajaran berpandukan penilaian melalui SeCHRA agar langkah kawalan kejuruteraan boleh diambil segera,” ujar YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang.

Pengurusan bahan kimia berbahaya di tempat kerja merupakan aspek penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja kekal terjamin selaras dengan keperluan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000 atau USECHH 2000.

Peraturan tersebut mewajibkan setiap majikan menyediakan daftar bahan kimia berbahaya kepada kesihatan serta melaksanakan penaksiran risiko bahan kimia di tempat kerja secara sistematik.

Sistem SeCHRA pula dibangunkan oleh Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) sebagai kaedah komunikasi dalaman bagi mengenal pasti risiko bahan kimia berbahaya yang digunakan di makmal universiti dan memastikan kelengkapan perlindungan mencukupi.

Dalam bengkel tersebut, peserta diperkenalkan dengan format terkini Daftar dan Inventori Bahan Kimia UKM yang diselaraskan oleh ROSH-UKM serta diberi latihan praktikal mengisi borang SeCHRA melalui sesi teori, latihan berkumpulan dan simulasi penggunaan bahan kimia.

Topik “Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan Secara Kendiri (SeCHRA)” telah disampaikan oleh Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Diagnostik, Teraputik dan Penyiasatan, FSK, UKM, Puan Nur Faizah Abu Bakar.

Dalam ucapannya, beliau menekankan tentang Prosedur Kerja Umum Penaksiran SeCHRA dan Garis Panduan Pengisian Borang SeCHRA sebagai panduan utama pelaksanaan penilaian risiko di makmal.

Untuk sesi praktikal, para peserta diminta membawa satu proses kerja atau manual amali yang menggunakan antara tiga hingga lima bahan kimia bagi tujuan latihan penaksiran risiko.

Pada akhir sesi latihan, para peserta dapat mengenal pasti tahap risiko serta menilai nilai risiko bahan kimia yang digunakan dalam proses kerja atau amali tersebut berdasarkan kawalan kejuruteraan dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) sedia ada serta cadangan dalam Helaian Data Keselamatan (SDS) bahan kimia, sama ada mencukupi atau perlu dipertingkatkan.

Pada sesi petang, topik “Daftar Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan dan Inventori Bahan Kimia” yang disampaikan oleh Pegawai Sains, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), FSK, UKM, ChM. Atiah Ayunni Abdul Ghani adalah berkenaan dengan keperluan perundangan, kepentingan daftar bahan kimia, kandungan maklumat yang perlu direkodkan serta proses penyediaan daftar bahan kimia.

Para peserta turut diminta membawa senarai inventori bahan kimia di makmal dan stor masing-masing untuk dipindahkan ke dalam format terkini Daftar dan Inventori Bahan Kimia UKM yang telah ditetapkan dan diselaraskan oleh ROSH-UKM.

Antara topik yang dibincangkan dalam bengkel Daftar Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan dan Inventori Bahan Kimia dan Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan Secara Kendiri (SeCHRA).

 

Ujar ChM. Atiah Ayunni Abdul Ghani,

Latihan seumpama ini perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan kakitangan makmal sentiasa peka terhadap aspek keselamatan kimia dan keperluan perundangan berkaitan dengan bahan kimia serta dapat mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa agar pemantauan langkah kawalan yang berterusan dapat dilakukan.

Bengkel ini bukan sahaja memenuhi keperluan perundangan, malah menjadi langkah strategik ke arah membina budaya kerja yang selamat serta memastikan kesihatan pengguna bahan kimia sentiasa diberikan keutamaan dan dilindungi.

Katanya,

Dengan pelibatan aktif daripada pihak pengurusan, penceramah serta para peserta, pelaksanaan pengurusan bahan kimia yang lebih sistematik diharapkan dapat diteruskan dan diperkukuh pada masa akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi