Diterbitkan pada 15 Oktober 2025, 21:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kesedaran terhadap aspek amalan kesihatan industri menjadi asas penting dalam melahirkan tenaga kerja yang sihat, produktif dan selamat, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ketiga, keempat, kelapan dan ke-12.

Penegasan tersebut disampaikan oleh Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Profesor Madya Dr. Ng Yee Guan ketika menyampaikan Ceramah Pengenalan kepada Malaysian Industrial Hygiene Association (MIHA) di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

YBrs. Profesor Madya Dr. Ng Yee Guan menekankan keperluan meningkatkan kesedaran amalan kesihatan industri bagi melahirkan tenaga kerja yang produktif dan berdaya tahan.

Program tersebut dianjurkan bagi memperkenalkan peranan dan fungsi MIHA serta meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kepentingan bidang amalan kesihatan industri dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Penganjuran program ini merupakan inisiatif MIHA Student Chapter, UKM dengan sokongan padu daripada MIHA Malaysia bagi memperkukuh penyertaan pelajar dalam jaringan profesional amalan kesihatan industri.

Ceramah berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Fakulti Sains Kesihatan yang menunjukkan minat terhadap bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Melalui sesi tersebut, pelajar berpeluang memahami dengan lebih mendalam prospek kerjaya, cabaran serta tanggungjawab industrial hygienist di Malaysia.

Selain itu, penganjuran ini turut menjadi platform penting bagi menghubungkan pelajar dengan pihak industri, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama akademik dan latihan profesional yang lebih luas.

Sebahagian peserta terdiri daripada pelajar UKM yang mengikuti Ceramah Pengenalan kepada MIHA bagi meningkatkan kefahaman tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Program ini turut disokong oleh aspirasi Universiti Watan Kita dan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan holistik serta tanggungjawab sosial terhadap kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.

Menurut Ketua Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, YBrs. Profesor Madya Dr. Nurul Farahana Kamaludin, program seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan akademiaindustri dan meningkatkan kesedaran nasional terhadap isu keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Ucapan oleh Profesor Madya Dr. Nurul Farahana Kamaludin menyerlahkan komitmen UKM terhadap pembangunan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan pelajar.
Ketua Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, YBrs. Profesor Madya Dr. Nurul Farahana Kamaludin menyampaikan sijil penghargaan kepada YBrs. Profesor Madya Dr. Ng Yee Guan sebagai tanda penghargaan atas perkongsian ilmu dalam bidang amalan kesihatan industri.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi