Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan, Kuantan sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam amalan lestari apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Utama Sekolah Menengah dalam Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah (PerKISS) Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025.
Kemenangan ini membolehkan SMK Tengku Afzan mewakili Pahang ke pertandingan peringkat kebangsaan buat kali keempat berturut-turut, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai ikon sekolah hijau di negeri ini.
Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Seri Dahlia, BCIC Lodge, Kuantan itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Malaysia, Tuan Khalid Mohamed.
“Dalam pertandingan ini, lebih daripada 500 000 kilogram bahan kitar semula telah berjaya dikumpulkan dan saya mencabar agar Pahang menetapkan KPI baharu pada tahun hadapan, iaitu mencapai 90 peratus penyertaan daripada semua sekolah di negeri ini,” kata Tuan Khalid Mohamed ketika merasmikan pertandingan berkenaan.
Beliau juga mengumumkan bahawa bermula 1 Januari 2026, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas akan dilaksanakan terhadap individu yang ditangkap membuang sampah merata-rata dengan dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama 12 jam di lokasi yang ditetapkan sambil memakai ves “Khidmat Masyarakat” di bawah pengawasan SWCorp.

Sementara itu, Pengetua SMK Tengku Afzan, Puan Rozita Ismail menyifatkan kejayaan sekolahnya sebagai hasil kerjasama yang erat antara seluruh warga sekolah, terutamanya Kelab Kitar Semula yang menjadi tulang belakang program PerKISS pada setiap tahun.
Ujarnya,
Kejayaan ini merupakan hasil semangat berpasukan, disiplin dan pengorbanan masa yang besar kerana tidak semua sekolah mampu mengurus program sebesar ini, tetapi kami menjadikan 3R sebagai projek bermakna dan identiti sekolah.
Beliau juga menyatakan bahawa sejak kali pertama menjadi johan, pihaknya terus berusaha untuk menambah baik dan memperluas penyertaan dalam kategori baharu pada setiap tahun.

Pertandingan anjuran SWCorp Negeri Pahang itu dilaksanakan dari 1 September 2024 hingga 31 Julai 2025, melibatkan penyertaan sebanyak 323 buah sekolah di seluruh negeri yang terdiri daripada 241 sekolah rendah dan 82 sekolah menengah.
Sepanjang tempoh pertandingan, sebanyak 503 071.97 kilogram bahan kitar semula telah berjaya dikumpulkan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM332,453.99, yakni suatu angka yang membanggakan serta membuktikan kesedaran tinggi warga pendidikan terhadap kelestarian alam.
SMK Tengku Afzan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500, piala kejuaraan dan sijil pencapaian atas kejayaan merangkul tempat pertama, selain turut memenangi Kategori Kutipan Kotak Minuman Terbanyak yang melayakkan mereka menerima hadiah tambahan RM300 dan sijil penyertaan.
Pada masa yang sama, seorang daripada guru SMK Tengku Afzan, Puan Noriqtiyani Mohd Shah Pari diumumkan sebagai penerima Anugerah Guru Inspirasi 3R atas dedikasi dan kepimpinan beliau dalam memupuk budaya kitar semula dalam kalangan warga sekolah.
Antara sekolah lain yang turut mencatat pencapaian cemerlang termasuklah SMK Triang, SMK Bukit Mendi, SMK Seri Pekan dan SMK (P) Methodist Kuantan, masing-masing menonjol dengan inisiatif 3R yang kreatif dan konsisten.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang, Encik Yusuf Kassim; Pengarah SWCorp Negeri Pahang, Encik Mohd Rohaidy Zulkifli, para pegawai SWCorp dan pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah.