Diterbitkan pada 2 Oktober 2025, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Simposium Dietetik Klinikal Pelajar Sarjana Muda Peringkat Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kali keempat telah berlangsung pada 9 September 2025 hingga 10 September 2025 secara dalam talian.

Program yang dianjurkan oleh pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 Program Ijazah Sarjana Muda Dietetik dengan Kepujian, UKM itu menyediakan platform ilmiah kepada pelajar program Dietetik dari pelbagai institusi pendidikan di Malaysia dan luar negara untuk berkongsikan ilmu serta pengalaman dalam pengurusan kes klinikal dengan menggunakan Proses Penjagaan Pemakanan atau Nutrition Care Process.

Bertemakan “Nutritional Support as the Cornerstone of Critical Care”, program tersebut berjaya menghimpunkan penyertaan pelajar program Dietetik untuk bertukar pandangan serta mendalami perkembangan terkini dalam bidang dietetik klinikal.

Program dimulakan dengan sesi ucapan kata alu-aluan oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar dan seterusnya dirasmikan oleh YBrs. Profesor Judi Porter dari Deakin University, Australia.

Program yang diadakan selama dua hari itu merangkumi pelbagai aktiviti, termasuklah sesi pembentangan kes klinikal, sidang pleno serta perkongsian pengalaman klinikal oleh pegawai dietetik dan felow penyelidik.

Sesi pembentangan kes klinikal.
Sesi sidang pleno oleh Penyelidik Pascasiswazah, Jabatan Anestesiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Lee Zheng Yii.

Selain berpeluang berinteraksi melalui aktiviti bersama-sama pelajar, para peserta juga berkesempatan mengikuti sesi meja bulat antara pelajar di dalam dan di luar negara bagi membincangkan topik yang bertajuk “Makanan Tradisional: Merangkul Kepelbagaian untuk Membanteras Penyakit Tidak Berjangkit.”

Para peserta saling berinteraksi menerusi aktiviti secara dalam talian.

Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk mempersiapkan pelajar program Dietetik dengan kemahiran komunikasi, keupayaan menyelesaikan masalah dan sifat profesionalisme, di samping memperkukuh jaringan antarabangsa dalam komuniti dietetik.

Dengan adanya kerjasama di dalam negara melalui Universiti Sains Malaysia serta universiti luar negara, khususnya Universitas Gadjah Mada, Poltekkes Kemenkes Semarang dan University of Santo Thomas, program ini menjadi satu daripada inisiatif penting untuk memperkukuh kepakaran serta amalan sokongan dalam kalangan pelajar program Dietetik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi