Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNibong Tebal – Warga Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Taklimat Penulisan Rencana Sains dan Teknologi yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Penyertaan melibatkan pensyarah, pegawai penyelidik, pustakawan dan pelajar siswazah, sekali gus mencerminkan keterbukaan komuniti kampus untuk meningkatkan kemahiran dalam penulisan ilmiah popular.
Program yang berlangsung di Bilik Seminar 1, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam itu dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, YBrs. Profesor Ir. Dr. Fadzli Mohamed Nazri, manakala sesi pengendalian program dipengerusikan oleh YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rosli Mohd Hasan.
Dalam ucapan perasmian, YBrs. Profesor Ir. Dr. Fadzli Mohamed Nazri menekankan keperluan untuk memperluas penulisan sains dan teknologi dalam bahasa kebangsaan agar ilmu yang dihasilkan dapat dicapai oleh masyarakat umum.
Beliau turut menegaskan bahawa penulisan berimpak bukan sekadar berperanan menyerlahkan keunggulan sains dan teknologi tempatan, bahkan menjadi wadah penting untuk mengangkat hasil penyelidikan agar lebih dikenali pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Oleh hal yang demikian, penulis perlu memastikan bahawa setiap rencana yang dihasilkan menepati piawaian penerbitan DBP yang merangkumi ketepatan fakta yang disampaikan, penggunaan bahasa yang bermutu serta penguasaan gaya penulisan yang berkesan untuk menarik minat pembaca.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, taklimat ini menampilkan Editor Dewan Kosmik, Puan Norfaranieza Muhd Ariffin yang berpengalaman luas dalam penulisan sains dan teknologi.
Dalam pembentangannya, beliau menjelaskan bahawa penulis perlu berfungsi sebagai pengantara antara fakta saintifik dengan khalayak awam dengan menterjemahkan dapatan penyelidikan yang bersifat teknikal kepada bentuk penulisan yang lebih mesra pembaca tanpa mengorbankan ketepatan maklumat.

“Penulisan harus diterjemahkan dalam bahasa yang mudah difahami, manakala penguasaan gaya penulisan rencana memberikan kredibiliti tambahan kepada penyelidikan yang dijalankan di kampus ini khususnya dan USM amnya,” ujar beliau.
Beliau menambah bahawa penulisan yang baik mempunyai kuasa untuk menghidupkan minat terhadap ilmu pengetahuan, selain menghubungkan masyarakat dengan hasil penyelidikan melalui penyampaian yang jelas, mudah dicapai dan relevan dengan keperluan semasa.
Menurutnya lagi, DBP membuka ruang yang luas kepada penulis baharu untuk menyalurkan pandangan melalui rencana dengan mengutamakan penulisan berasaskan idea yang segar, berdaya kreatif dan bersesuaian dengan perkembangan isu semasa agar dapat menarik minat pembaca daripada pelbagai latar belakang.


Peserta program, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohamad Hekarl Uzir menyatakan bahawa taklimat ini telah membuka perspektif baharu tentang penulisan yang lebih dekat dengan masyarakat awam dan berpotensi menawan perhatian pembaca.
Gaya ini berbeza daripada penulisan jurnal berimpak tinggi yang biasanya bersifat teknikal dan hanya diakses oleh komuniti akademik atau penyelidik di institusi pengajian tinggi.
Penganjur turut menyatakan hasrat untuk menganjurkan bengkel penulisan bersama-sama pihak DBP bagi menghasilkan makalah yang lebih berkualiti dan memperluas kerjasama bersempena dengan sambutan 25 tahun Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal yang bakal diraikan pada tahun 2026.
