Diterbitkan pada 10 September 2025, 16:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bengkel Pemantapan Klinisian Sihat@UKM anjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menghimpunkan 40 orang klinisian daripada pelbagai disiplin bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

Peserta bengkel terdiri daripada pakar optometri, audiologi, psikologi klinikal, dietetik, fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan bahasa, radiografi diagnostik dan terapi radiasi yang memainkan peranan dalam rawatan pesakit serta bimbingan pelajar latihan klinikal.

Klinik Sihat@UKM yang dipimpin oleh Penolong Dekan Klinikal FSK, Profesor Madya Dr. Masne Kadar merangkumi Klinik Optometri, Klinik Terapi Cara Kerja, Klinik Fisioterapi, Klinik Psikologi Klinikal, Klinik Audiologi dan Klinik Terapi Pertuturan yang beroperasi aktif sepanjang tahun.

Beberapa klinik ini mencatatkan permintaan tinggi sehingga slot janji temu bagi tahun 2025 penuh enam bulan lebih awal, lalu menjadikan Klinik Sihat@UKM antara pusat rawatan pilihan utama masyarakat.

Fokus utama bengkel ini adalah memastikan kualiti perkhidmatan dikekalkan seiring dengan kepercayaan dan permintaan yang semakin meningkat.

Ketua Perkhidmatan Sihat@UKM, Puan Norhafidzah Mohamed Sharif dalam taklimat pembukaan menekankan kepentingan setiap klinisian memahami matlamat bengkel agar dapat menyumbang cadangan dengan berkesan.

“Saya menyeru para peserta supaya memanfaatkan pertemuan ini sebagai wadah menyatukan kepakaran demi memperkukuh peranan UKM dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan diyakini masyarakat,” kata beliau lagi.

Taklimat pembukaan oleh Ketua Perkhidmatan Sihat@UKM, Puan Norhafidzah Mohamed Sharif memberikan pencerahan tentang objektif dan hala tuju bengkel.

Antara isu utama yang dibincangkan termasuklah penyelarasan kadar caj perkhidmatan serta peningkatan kompetensi pembantu operasi di kaunter klinik.

Perbincangan juga memberikan perhatian kepada isu berbangkit yang berpotensi menjejaskan kualiti perkhidmatan dengan tujuan mencari penyelesaian terbaik secara menyeluruh.

Selain aspek operasi, bengkel turut menekankan pembangunan kompetensi kerjaya klinisian, termasuklah minat dalam penulisan ilmiah dan perkongsian profesional.

Para klinisian berbincang dalam kumpulan untuk merumuskan penyelesaian dan cadangan praktikal untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di UKM.

Strategi mengaktifkan semula platform media sosial rasmi turut diketengahkan bagi memperluas capaian maklumat kesihatan kepada masyarakat.

Sebagai perancangan jangka panjang, bengkel ini merangka penganjuran seminar kesihatan awam pada tahun 2026 sebagai platform penyampaian ilmu, peningkatan kesedaran serta pengukuhan hubungan UKM dengan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi