Diterbitkan pada 31 Ogos 2025, 13:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Karnival Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 anjuran KPJ Healthcare University (KPJU) bersama-sama Pejabat Ahli Parlimen Rasah berlangsung meriah dengan penyertaan ratusan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Acara tersebut yang diadakan di Padang Awam, Kuarters KLIA, Nilai, Negeri Sembilan menggabungkan aktiviti kebudayaan, pameran kesihatan serta pengisian pendidikan berteraskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Pendekatan STEM yang diketengahkan melalui pelbagai aktiviti interaktif berjaya mencuri perhatian pengunjung kerana memberikan peluang kepada orang ramai untuk memahami sains secara santai dan menyeronokkan.

Antara tarikan utama termasuklah demonstrasi anatomi dengan menggunakan model interaktif serta cabaran kuiz kesihatan yang dikendalikan Jabatan Pengimejan Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, KPJU.

Aktiviti interaktif yang disediakan menarik minat pelbagai lapisan masyarat yang berkunjung ke Karnival Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Pemangku Naib Canselor KPJU, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Izham Mohd Zain berkata, penerapan STEM dalam program berbentuk komuniti amat penting untuk memperkenalkan ilmu sains sejak awal usia.

Menurut beliau, STEM bukan hanya relevan kepada murid sekolah, malah bermanfaat kepada orang dewasa kerana mampu menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

“Melalui aktiviti santai dan mesra keluarga, kami mahu masyarakat lebih memahami penggunaan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian, khususnya dalam bidang kesihatan,” jelasnya.

Demonstrasi pertolongan cemas serta pemeriksaan fizikal percuma turut disediakan kepada para pengunjung reruai.

Ahli Parlimen Rasah, Yang Berhormat (YB) Cha Kee Chin pula menyifatkan penganjuran ini sebagai platform berkesan yang merapatkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti setempat.

Beliau menegaskan bahawa penerapan STEM pada peringkat komuniti akan menyumbang kepada kesan jangka panjang dalam melahirkan generasi muda yang lebih celik sains.

Reruai KPJU dimeriahkan dengan kunjungan Ahli Parlimen Rasah, YB Cha Kee Chin.

Selain itu, karnival ini turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kerjaya, persembahan seni budaya serta pelbagai gerai jualan yang mengukuhkan semangat kebersamaan masyarakat.

Mahasiswa dan pensyarah daripada Jabatan Pengimejan Perubatan, KPJU yang menyertai Karnival Hari Kebangsaan 2025.

Penganjuran program tersebut membuktikan bahawa sambutan kemerdekaan bukan sekadar diraikan dengan hiburan, malah turut diisi dengan usaha menyemai ilmu pengetahuan demi pembangunan bangsa.

Selaras dengan gagasan Malaysia Madani: Rakyat Disantuni, usaha ini diharap dapat melahirkan masyarakat yang celik ilmu, berdaya saing dan bersatu padu demi kemakmuran negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi