Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNilai – Hampir 100 murid tahun empat hingga tahun enam daripada lima sekolah rendah sekitar Nilai telah menyertai Program MedSTEM Explorers 3.0 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks KLIA.
Program ini merupakan inisiatif Persatuan Pelajar Radiografi, Fakulti Sains Kesihatan, KPJ Healthcare University (KPJU) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Seremban serta Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu.
Penganjuran pada peringkat daerah ini bertujuan memupuk minat terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), khususnya dalam bidang sains kesihatan, sejak di bangku sekolah rendah.
Usaha ini juga selari dengan aspirasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan mengarusperdanakan inovasi pada peringkat akar umbi.
Pengarah program, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain menegaskan bahawa pelibatan aktif DUN Labu amat penting kerana usaha ini membuka ruang kolaborasi bersama-sama institusi pengajian tinggi seperti KPJU untuk memperkasakan murid sekolah rendah di kawasan tersebut.
“Kami percaya pendedahan awal melalui aktiviti STEM yang menyeronokkan mampu menanam minat murid untuk terus belajar dan akhirnya memilih kerjaya dalam bidang sains kesihatan,” katanya.
Beliau menambah bahawa pendekatan pendidikan inklusif yang diterapkan memberikan peluang murid mengenali pelbagai aplikasi STEM secara praktikal, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap potensi diri.
Antara pengisian utama program termasuklah taklimat STEM dalam bidang sains kesihatan serta aktiviti interaktif seperti human puzzle, membina model tulang tangan, eksperimen “Know Your DNA”, membina model peredaran darah jantung manusia dan aktiviti kreatif “Design Your Healthy Plate”.


Aktiviti tersebut bukan sahaja memberikan pendedahan kepada asas sains kesihatan, malah turut mengasah kemahiran insaniah murid seperti kerja berpasukan, komunikasi dan penyelesaian masalah.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Penyelaras DUN Labu, Encik Ahmad Faez Abdul Razak yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini.
“Kolaborasi bersama-sama KPJ Healthcare University membuktikan bahawa apabila komuniti, sekolah dan institusi pengajian tinggi berganding bahu, manfaatnya dapat dirasai murid pada peringkat akar umbi,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa DUN Labu sentiasa komited menyokong inisiatif pendidikan yang membuka mata generasi muda terhadap peluang kerjaya dalam bidang STEM.
Program MedSTEM Explorers 3.0 mendapat sambutan yang positif daripada murid dan guru yang melihatnya sebagai platform penting dalam membina minat terhadap sains kesihatan sebagai pilihan kerjaya masa hadapan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan Fakulti Sains Kesihatan KPJU, YBrs. Profesor Madya Dr. Khairiah Abdul Hamid serta Guru Besar SK Kompleks KLIA, Puan Roslina Bowah selaku tuan rumah.