Diterbitkan pada 21 Ogos 2025, 17:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Dalam usaha memperkasakan warga pensyarah dengan kemahiran digital, selaras dengan cabaran era kecerdasan buatan (AI) pada masa ini, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Bengkel Risalah Maya di Bilik Kaca Perpustakaan Hamzah Sendut 1, USM.

“Transformasi pendidikan tidak lagi boleh bergantung pada kaedah konvensional kerana era AI kini menuntut warga akademik untuk berdaya saing melalui inovasi digital, kreativiti kandungan dan kecekapan dalam mengurus maklumat,” kata Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, YBrs. Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob ketika merasmikan bengkel berkenaan.

Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, YBrs. Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob ketika menyampaikan ucapan, sekali gus merasmikan Bengkel Risalah Maya di Bilik Kaca Perpustakaan Hamzah Sendut 1, USM.

Antara pengisian dalam bengkel yang berlangsung seharian itu termasuklah perbincangan mengenai pembangunan kandungan dan jalan cerita digital, sesi pembentangan kumpulan serta perkongsian berkaitan dengan reka bentuk dan format risalah maya oleh Pegawai Sokongan Teknologi dan Pembelajaran, PPPJJ, USM, Encik Mohd Hafiz Shafiq Zulkifli.

Sekitar berlangsungnya Bengkel Risalah Maya.

Bengkel ini memberikan peluang kepada para pensyarah untuk meningkatkan literasi digital, menguasai pelbagai strategi penulisan interaktif serta reka bentuk visual yang lebih mesra pembaca dalam format maya.

Selain memberikan nilai tambah kepada proses pengajaran, penggunaan risalah maya ini turut menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG ke-12, iaitu Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab.

Pendekatan digital secara langsung mengurangkan kebergantungan terhadap kertas serta membantu dalam usaha penjimatan sumber semula jadi dan mengurangkan pencemaran, selari dengan SDG ke-13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim, yakni inisiatif yang menyumbang kepada pengurangan jejak karbon melalui amalan lebih mesra alam.

Bengkel ini turut menggariskan tentang teknologi AI yang mampu membantu dalam menghasilkan bahan pengajaran yang lebih dinamik, antaranya dengan integrasi automasi penyusunan kandungan, analitik pembelajaran pelajar serta reka bentuk risalah interaktif yang mampu menyesuaikan diri mengikut keperluan individu.

Dengan kehadiran para pensyarah dari pelbagai bidang, bengkel ini menjadi medan perkongsian idea dan kolaborasi dalam merangka modul pembelajaran digital yang lebih inklusif dan berimpak tinggi, sekali gus membuktikan komitmen PPPJJ, USM dalam mengangkat budaya akademik berasaskan teknologi digital, AI serta kelestarian alam sekitar agar warga pendidik terus relevan menghadapi landskap pendidikan global yang semakin mencabar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi