Diterbitkan pada 20 Ogos 2025, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Penganjuran Bengkel Khas Pembangunan Kriteria Kecemerlangan Pegawai Sains (Skim C) Universiti Awam Malaysia 2025 (Siri ke-2) memberikan tumpuan khusus kepada usaha memperhalus dan menyeragamkan kriteria kecemerlangan pegawai sains yang dilaksanakan sebagai kesinambungan daripada siri pertama yang telah diadakan pada tahun 2024.

Inisiatif tersebut berlandaskan Pekeliling SSPA Bil. 1/2024: Skim Perkhidmatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang telah ditambah baik, sejajar dengan aspirasi untuk memastikan peranan pegawai sains kekal relevan, berdaya saing dan terus menyumbang secara signifikan kepada agenda pendidikan tinggi, penyelidikan serta inovasi negara.

Bengkel siri kedua ini telah berlangsung dengan jayanya pada 18 Ogos 2025 hingga 19 Ogos 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikendalikan oleh Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) dengan pelibatan pelbagai pihak berkepentingan dari universiti awam di seluruh negara.

Bengkel yang diadakan selama dua hari itu disertai oleh 33 orang pegawai sains gred jawatan C10 hingga C14 yang mewakili 14 universiti awam, iaitu UKM; Universiti Malaya (UM); Universiti Putra Malaysia; Universiti Sains Malaysia; Universiti Teknologi Malaysia; Universiti Teknologi MARA (UiTM); Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Universiti Malaysia Terengganu; Universiti Malaysia Perlis; Universiti Malaysia Sabah; Universiti Malaysia Sarawak; Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Sultan Zainal Abidin.

Bengkel dimulakan dengan sesi pembentangan dari tiga universiti awam, iaitu UM, UKM dan UiTM yang ketiga-tiganya mengetengahkan kriteria kecemerlangan yang ditambah baik, termasuklah pencapaian dan pembuktian yang dicadangkan berdasarkan kriteria induk yang dibangunkan pada peringkat MASTI dalam bengkel siri pertama.

Sesi pembentangan daripada wakil UM, UKM dan UiTM.

Sepanjang dua hari penganjuran bengkel itu, peserta telah menambah baik kriteria kecemerlangan dengan menekankan aspek definisi, subkriteria, unit wajaran, tempoh perkhidmatan, aktiviti simulasi dan cadangan penandaarasan (benchmarking).

Menurut Penasihat Khas Presiden MASTI (Sains dan Teknologi) merangkap Pengerusi bengkel ini, Puan Hir Yanti Md. Tahir, usaha ini adalah penting kerana bukan sahaja mengukuhkan kriteria sedia ada, malah memperluas libat urus antara universiti awam agar kriteria yang dibangunkan lebih objektif, relevan dan praktikal.

Ujarnya,

Penganjuran bengkel ini diharapkan menjadi pemangkin kepada penghasilan dokumen kriteria kecemerlangan yang lebih komprehensif, adil dan inklusif, sekali gus mengangkat martabat pegawai sains universiti awam ke tahap yang lebih tinggi.

Wakil universiti awam membentangkan kriteria kecemerlangan yang telah ditambah baik berserta keputusan simulasi.

Antara dapatan utama bengkel tersebut termasuklah cadangan penambahbaikan terhadap subkriteria penilaian yang merangkumi aspek pembangunan profesional, pengiktirafan kepakaran serta laluan kecemerlangan kerjaya yang akan didokumentasikan secara rasmi sebagai Kriteria Kecemerlangan Pegawai Sains Universiti Awam Malaysia dan seterusnya dibentangkan pada peringkat MASTI.

Perbincangan dan lontaran idea oleh peserta bagi memperkemas kriteria kecemerlangan pegawai sains.

Para peserta turut menzahirkan komitmen untuk terus menyokong pembangunan kriteria ini bagi memperkukuh kedudukan pegawai sains sebagai tonggak utama dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi