Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Dalam usaha memperkasakan pendidikan alam sekitar dan amalan kelestarian, Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Methodist (MGSS) Kuantan menjadi tuan rumah kepada Bengkel Tematik Eco School Siri 3 dan 5 bagi zon Kuantan dan Pekan yang menghimpunkan 15 buah sekolah rendah dan sekolah menengah dengan pelibatan lebih daripada 80 orang pelajar dan guru.
Bengkel yang memfokuskan dua topik utama, iaitu pengangkutan lestari dan perolehan lestari itu merupakan anjuran Green Growth Asia Foundation selaku penyelaras Program Eco School Malaysia dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.
“Kami amat berbesar hati kerana diberikan kepercayaan sebagai tuan rumah untuk mengendalikan bengkel yang sangat bermakna dan berupaya melahirkan pelajar yang menyedari akan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar, sekali gus membuka jalan kepada tindakan yang lebih lestari dan berdampak tinggi di sekolah masing-masing,” kata Pengetua MGSS Kuantan, Puan Josephine Hezrin Azhar ketika merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Tematik Eco School berkenaan.
Antara sekolah yang mengikuti bengkel tersebut termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau, SMK Sultanah Hajah Kalsom, SMK Chengal Lempong, Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah, SK Bunut Rendang dan SK (Felda) Chini 1 dan 4.
Pasukan fasilitator yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan bengkel berkenaan diketuai oleh Koordinator Program Eco School Pahang, Encik Nazrul Hazim Suleiman serta dibantu oleh Encik Muhammad Daniel Azman dan Puan Nadia Faraziela Idi.
Menurut Encik Nazrul Hazim Suleiman, modul yang dibangunkan dalam bengkel tersebut bertujuan untuk memberikan kefahaman dengan menyeluruh kepada pelajar.

Ujarnya,
Kita mahu para pelajar dapat memahami konsep seperti perolehan hijau dan jejak karbon serta mampu mengukur kesan tindakan harian mereka terhadap alam sekitar dan membina pelan tindakan yang realistik serta boleh dilaksanakan, termasuklah amalan penanaman pokok dan perubahan tingkah laku.
Beliau juga menyatakan bahawa bengkel yang diadakan bukan sahaja menggalakkan pembelajaran aktif dan berasaskan pengalaman sebenar, malah turut menanam nilai kepimpinan hijau dalam kalangan pelajar, selari dengan aspirasi pendidikan alam sekitar negara, sekali gus membuktikan pendidikan alam sekitar bukan hanya untuk dipelajari, tetapi untuk dihayati dan diamalkan.
Bengkel dimulakan dengan Modul 1: Pengangkutan Lestari yang memberikan tumpuan kepada kepentingan pilihan mobiliti mesra alam dan peserta diajak untuk menelusuri topik pengangkutan lestari, bermula daripada memahami kesan karbon yang dilepaskan oleh kenderaan kepada cara mengira jejak karbon peribadi berdasarkan corak perjalanan harian dan jenis kenderaan.
Dalam sesi perkongsian itu juga, para peserta didedahkan kepada kepentingan menggunakan alternatif seperti berjalan kaki, berbasikal, berkongsi kereta dan pengangkutan awam serta membina pelan tindakan untuk mengurangkan jejak karbon seperti penjimatan tenaga dan penanaman pokok.
Sesi perbincangan menjadi lebih menarik apabila para peserta mengambil bahagian dalam setiap aktiviti permainan interaktif Kahoot! yang menguji kefahaman mereka secara santai dan menyeronokkan.


Untuk sesi yang seterusnya, para peserta dibawa menyusuri tapak projek Eco School MGSS Kuantan, termasuklah projek baja kompos, taman kunyit dan taman cili yang turut menghasilkan jeruk cili dengan jenama ”Cili Jeruk Budak Sekolah”, tong kitar semula Greencraft Bin (GcB) ciptaan inovatif pelajar, projek hidroponik berskala besar dan tong kutipan minyak masak terpakai.
Penerangan di setiap stesen diberikan secara mendalam oleh pasukan Eco Rangers MGSS Kuantan yang terdiri daripada pelajar terlatih dan berpengetahuan tinggi dalam kelestarian alam sekitar sebagai penunjuk keberkesanan pendidikan amali bagi membentuk budaya lestari.

Modul kedua pula memberikan fokus terhadap perolehan lestari, yakni mengupas konsep perolehan hijau mengenai proses pembelian yang mengambil kira kesan produk terhadap alam sekitar sepanjang kitar hayatnya daripada bahan mentah sehinggalah peringkat pelupusan.
Dalam sesi ini, para peserta diberikan pendedahan tentang cara untuk membuat pilihan yang bijak berdasarkan kos sepanjang hayat sesuatu produk berbanding hanya melihat pada harga yang ditawarkan, di samping mereka diajar tentang prinsip 5R (rethink, reuse, reduce, recycle dan refuse) bagi membentuk amalan kepenggunaan yang lebih bertanggungjawab dan lestari.
Nur Sufiya Zahraa Rizal Aswadi, pelajar tingkatan empat dari SMK Sultanah Hajah Kalsom berkata,
Saya berasa teruja dengan pengisian bengkel ini kerana memberikan kesedaran yang mendalam tentang tindakan yang dilakukan oleh manusia pada setiap hari sebenarnya memberikan kesan yang besar kepada alam sekitar, sekali gus menjadikan saya lebih peka dalam membuat pilihan, sama ada dari segi pengangkutan mahupun pembelian harian agar selaras dengan gaya hidup yang lestari.
Gabungan antara teori, amali dengan interaksi telah menjadikan bengkel ini sebagai satu contoh yang menunjukkan cara seseorang pelajar itu boleh dibentuk menjadi ejen perubahan iklim dan pemimpin kelestarian pada masa hadapan.
