Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Malaysia menerusi PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran 2nd International Nuclear Science Olympiad (INSO) 2025 bermula pada 30 Julai 2025 hingga 6 Ogos 2025.
Penganjuran INSO 2025 berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal.
INSO 2025 merupakan pertandingan pendidikan antarabangsa dalam bidang sains dan teknologi nuklear yang buat pertama kalinya diadakan di Filipina pada tahun 2024.
Program tersebut menghimpunkan para pelajar cemerlang di bawah usia 20 tahun dari 14 buah negara bagi menguji pengetahuan dan kemahiran mereka melalui ujian teori, eksperimen praktikal, lawatan saintifik dan pertukaran budaya.

Mengangkat tema “Fueling Ambition, Celebrating Excellence”, penganjuran pada kali ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkasakan bakat global serta memperkukuh kesedaran mengenai penggunaan aman teknologi nuklear dalam menangani cabaran dunia seperti perubahan iklim, keselamatan tenaga dan makanan.
Sebagai sebuah agensi teknikal, Agensi Nuklear Malaysia turut memainkan peranan aktif sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Saintifik INSO 2025, di samping menyertai pameran yang memaparkan aplikasi teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab kepada generasi muda.

Penganjuran INSO 2025 bukan sekadar pertandingan, malah menjadi platform kolaborasi antarabangsa yang penting dalam memupuk minat, jaringan saintifik dan bakat masa hadapan dalam bidang sains nuklear.