Diterbitkan pada 18 Julai 2025, 23:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan menjadi medan ilmu dan inovasi apabila BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd. (BPC) dengan kerjasama “Green Growth Asia Foundation” (GGAF) menganjurkan Karnival Sains & Teknologi Hijau Eco Schools 2025 buat kali kedua.

Karnival ini bukan sahaja disertai lebih 1200 pelajar daripada 20 buah sekolah jemputan sekitar Pahang, malah menjadi tumpuan utama pertandingan “Green Innovation Science Project” (GISPRO) 2025, yang memperlihatkan sebanyak 168 penyertaan daripada 88 sekolah yang melibatkan lebih 1000 pelajar dan guru pembimbing dari seluruh negara.

Sebanyak 15 pasukan terbaik mara ke pentas akhir dan mempersembahkan projek penyelesaian kreatif bagi menangani isu alam sekitar.

Pasukan ini dibimbing oleh 30 sukarelawan pelajar dari Universiti Malaysia Pahang Sultan Ahmad Shah (UMPSA) dan tenaga sukarelawan BPC sendiri, para peserta menjalankan eksperimen secara langsung di tapak karnival yang memberikan satu pengalaman yang membuka mata banyak pihak.

Segmen interaktif seperti pameran makmal berasaskan kelestarian, demo teknologi hijau, serta sesi dialog bersama tokoh industri menjadikan karnival ini sebuah platform pendidikan masa depan yang bersifat menyeluruh dan berimpak tinggi.

Kumpulan Eco School SMK (P) Methodist Kuantan antara sekolah yang hadir memeriahkan Karnival Sains dan Teknologi Hijau Eco School 2025.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah Urusan BPC, YBrs. En. Tan Aik Meam menyatakan keterujaannya menyaksikan semangat luar biasa para peserta.

“Daya cipta dan semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar amat membanggakan. Inisiatif ini merupakan komitmen jangka panjang kami untuk memupuk generasi muda dengan pengetahuan dan kemahiran bagi menjayakan transformasi hijau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif GGAF, YBhg. Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad  menyentuh peranan pendidikan hijau dalam mencorak masa depan negara.

“Pendedahan awal kepada teknologi hijau serta bimbingan langsung daripada pemain industri memberikan pelajar keyakinan dan inspirasi untuk menjadi inovator dan penyelesai masalah masa hadapan,” terangnya lagi.

Turut menyuarakan sokongan ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang YBrs. En. Yusof Kassim yang menyatakan bahawa pentingnya membentuk minda muda yang bersedia menerima teknologi hijau, berfikir secara inovatif serta memahami peranan kelestarian dalam pembangunan negara.

Dalam karnival ini juga, sebanyak tiga juara GISPRO 2025 mengikut kategori telah dipilih iaitu, SMK Canossa Convent, Melaka bagi Kategori Hijau Fizik dan Kejuruteraan dengan projek “Automatic Plant Watering System with Recycling Water”, Kolej Vokasional Wakaf Tembusu di bawah Kategori Hijau Kimia dengan projek “Aromagic”, manakala bagi Ketegori Hijau Biologi pula jatuh kepada SMK Dato Sulaiman dengan projek “Veltrix Bromoclener-P”.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Kejuruteraan Kimia, UMPSA. YBrs. Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Pengurus Eco-Schools Malaysia GGAF, Encik Muhammad Fadzly Me’an dan Pengetua SBPI Kuantan, Tuan Haji Ropizalhazri Haji Ismail.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi