Diterbitkan pada 18 Julai 2025, 11:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Semangat kecemerlangan dan integriti dalam kalangan pegawai pengurusan dan profesional terus diraikan menerusi Majlis Penyampaian Anugerah PERTADI dan Serah Tugas Exco PERTADI Sesi 2023–2025 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Majlis anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTADI) UKM ini menghimpunkan warga pengurusan dan profesional dalam satu acara penuh penghargaan terhadap sumbangan mereka sebagai tulang belakang sistem pentadbiran universiti.

Anugerah PERTADI yang terus menjadi tradisi saban tahun berperanan mengiktiraf pencapaian cemerlang ahli yang tidak hanya menunjukkan keunggulan peribadi, bahkan turut menandakan dedikasi terhadap kemajuan UKM.

Golongan pengurusan dan profesional disifatkan sebagai pemacu utama pelaksanaan dasar dan perancangan universiti menerusi penyampaian perkhidmatan yang efisien, berkesan dan bertanggungjawab.

Penganjuran majlis ini bertepatan dalam usaha menyemarakkan semangat kerja berpasukan serta menyuntik motivasi kepada seluruh warga UKM agar terus memberikan khidmat terbaik.

Majlis dimulakan dengan ucapan Presiden PERTADI UKM bagi Sesi 2025–2027, Puan Lily Khairiah Kadaruddin yang menyampaikan penghargaan kepada barisan exco terdahulu atas kepimpinan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang sesi pentadbiran mereka.

Ucapan alu-aluan oleh Presiden PERTADI Sesi 2025-2027, Puan Lily Khairiah Kadaruddin.

Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan harapan agar kepimpinan baharu terus memperkuat kesatuan, menyemai budaya kerja profesional serta menjadikan PERTADI sebagai wadah berpengaruh dalam memperjuangkan suara warga pentadbiran di UKM.

Ucapan perasmian disampaikan oleh Pendaftar UKM, YBrs. Tuan Haji Zanudin Mohd. Daud yang menegaskan pentingnya peranan pentadbir dan profesional yang cekap, inovatif dan berintegriti dalam menjayakan aspirasi UKM ke arah menjadi universiti terkehadapan.

Ucapan perasmian oleh Pendaftar, UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd. Daud.

“Saya menyeru agar seluruh warga pentadbiran terus melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran baharu supaya kita sentiasa bersedia menghadapi cabaran dan tuntutan dunia pentadbiran yang semakin kompleks agar peranan kita sebagai pendukung utama sistem pentadbiran universiti terus relevan dan berimpak,” jelas beliay dalam ucapan perasmiannya.

Majlis penyampaian anugerah menyaksikan dua kategori utama dipertandingkan, iaitu Anugerah Khas PERTADI dan Anugerah PERTADI yang merangkumi pelbagai bidang kepakaran dan sumbangan anggota.

Sebanyak empat Anugerah Khas PERTADI telah dianugerahkan, iaitu Bakat Cemerlang (Proaktif), Bakat Cemerlang (Kreativiti), Sekalung Budi dan Teraju Harapan sebagai menghargai pencapaian individu serta organisasi yang memberikan impak besar kepada institusi.

MASTI menerima Anugerah Sekalung Budi, manakala Presidennya, Tuan Haji Wan Mohd. Wazir Wan Abdul Wahab diumumkan sebagai penerima Anugerah Teraju Harapan atas kepimpinan cemerlang beliau dalam memperkukat jaringan pentadbiran antara universiti awam.

Sebanyak 11 kategori Anugerah PERTADI disampaikan selaras dengan pengiktirafan yang dilaksanakan oleh MASTI bagi merangkumi sumbangan dalam bidang penyelidikan, penulisan, inovasi, teknologi, sukan, kesukarelawanan dan tadbir urus.

Antara kategori yang dipertandingkan termasuklah Anugerah Penyelidikan Sains dan Teknologi, Penyelidikan Sains Sosial, Penulisan Sains dan Teknologi, Penulisan Sains Sosial, Inovasi Kejuruteraan serta Teknologi Maklumat dan Inovasi.

Pengiktirafan turut diberikan menerusi Anugerah Sukan dan Rekreasi, Khidmat Komuniti dan Kesukarelawan, Tadbir Urus Kreatif dan Inovasi, Tokoh Harapan PERTADI, Tokoh Terbilang PERTADI dan anugerah tertinggi, iaitu Tokoh PERTADI.

Pemenang Anugerah Khas PERTADI Bakat Cemerlang (Proaktif), Anugerah Khas PERTADI Bakat Cemerlang (Kreativiti), Anugerah Khas PERTADI (Sekalung Budi) dan Anugerah Khas PERTADI (Teraju Harapan).
Pemenang Anugerah PERTADI (Penyelidikan Sains dan Teknologi), Anugerah PERTADI (Penyelidikan Sains Sosial), Anugerah PERTADI (Penulisan Sains dan Teknologi) dan Anugerah PERTADI (Penulisan Sains Sosial).
Pemenang Anugerah PERTADI (Inovasi Kejuruteraan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi), Anugerah PERTADI (Sukan dan Rekreasi), Anugerah PERTADI (Khidmat Komuniti dan Kesukarelawan) dan Anugerah PERTADI (Tadbir Urus Kreatif dan Inovasi).
Pemenang Anugerah PERTADI (Tokoh Harapan PERTADI), Anugerah PERTADI (Tokoh Terbilang PERTADI) dan Anugerah PERTADI (Tokoh PERTADI).

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Presiden MASTI, Dr. Mohd. Helmi Masor @ Mansor dan Ts. Amirul Firdaus Zilah serta wakil persatuan dalaman UKM seperti PKAUKM, KESUKMA UKM dan PAKAT.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi