Diterbitkan pada 14 Julai 2025, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Untuk memberikan pendedahan yang menyeluruh mengenai aplikasi teknik mutasi aruhan dalam bidang pertanian, di samping teknik bioteknologi yang berkaitan, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima empat orang felow di bawah Program Fellowship International Atomic Energy Agency (IAEA) bagi menjalani latihan intensif selama dua bulan di Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Nuklear Malaysia.

Sesi taklimat yang disampaikan oleh pegawai dari Nuklear Malaysia.

Felow yang terlibat terdiri daripada penyelidik dari Central Agricultural Research Institute dan Ministry of Agriculture, Liberia, MRC Biotech, Papua New Guinea serta Scientific Research Organisation of Samoa, Samoa.

Sepanjang berlangsungnya latihan intensif ini, para penyelidik yang terlibat akan menjalani latihan berkaitan dengan “Mutation Induction and Other Speed Breeding Technologies in Rice in Advanced Research Laboratory” dan “Mutation Induction for Vegetatively Propagated Crops Using Acute and Chronic Gamma Irradiation”.

Sepanjang tempoh latihan tersebut, felow yang terlibat akan mempelajari teori dan latihan amali yang melibatkan penggunaan sinaran gama dalam penghasilan varieti tanaman, teknik kultur tisu serta kaedah penilaian fenotipik dan genetik bagi pemilihan mutan yang berpotensi.

Penyelidik juga berpeluang untuk turut serta dalam aktiviti penyelidikan projek yang dijalankan serta mengikuti sesi perkongsian ilmu bersama-sama para penyelidik tempatan, khususnya dari Nuklear Malaysia.

Program latihan intensif ini bukan sahaja membantu meningkatkan kompetensi para penyelidik, malah mengeratkan kerjasama antara dua hala untuk memajukan aplikasi sains dan teknologi nuklear dalam sektor pertanian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi