Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPekan –Tiga murid Tahun 3 dari Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang (SRTNP) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membangunkan sistem Paparan Semi-Holografik Interaktif pertama dihasilkan oleh kanak-kanak seusia mereka.
Gabungan idea dan kepakaran awal Arissa Safia Muhamad Aizat, Shaheed Adam Shahrill Affiz, dan Yusuf Nufayl Muhammad Izhar di bawah bimbingan guru, Puan Siti Hajar Mohamad Ros dan Puan Nurarissa Asyifa Zulkefli, telah menarik perhatian juri dalam Pameran Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) 2025 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Projek berjudul Halaqah Vision itu merupakan satu inovasi luar biasa yang membolehkan guru mengajar dari lokasi jauh dalam bentuk paparan seakan-akan hologram secara masa nyata, seolah-olah “hadir” secara fizikal dalam bilik darjah.
Menurut penyelia projek, Dr. Muhammad Izhar Ishak dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), kejayaan ini membuktikan bahawa semangat inovasi mampu disemai sejak usia muda jika diberikan ruang dan sokongan yang sesuai.
“Tiga murid ini berusia sembilan tahun, namun pemikiran mereka amat matang dan futuristik. Mereka bukan hanya berimaginasi, tetapi mampu merealisasikan idea tersebut menjadi prototaip berfungsi,” katanya.
Kejayaan ini bukanlah yang pertama bagi trio cilik tersebut. Pada CITREX 2024, mereka turut merangkul Pingat Emas menerusi projek sistem automasi akuaponik menggunakan LEGO Robotics, dan menerima Anugerah Khas dalam Pahang Trex Innovation Exhibition 2024.
Halaqah Vision dibangunkan sepenuhnya pada awal tahun ini dan telah diuji dalam kelas sebenar hasil kolaborasi bersama pensyarah dari FTKMA dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMPSA.
Projek ini menerima Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan Penerbit UMPSA di bawah kluster Smart Technology and System dan mengatasi puluhan projek lain dari universiti dan kolej terkemuka di seluruh negara.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Halaqah Vision dibangunkan dengan menggunakan peralatan asas seperti komputer peribadi mini, projektor, kamera web dan panel akrilik berserta filem lut sinar dengan kos keseluruhan hanya sekitar RM1,500 yang jauh lebih rendah berbanding dengan sistem holografik komersial.
Lebih mengagumkan, ujarnya inovasi mereka meraih Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan Penerbit UMPSA di bawah Cluster Smart Technology and System, mengalahkan berpuluh projek universiti dan kolej terkemuka di Malaysia.
“Dengan sistem ini, guru dari mana-mana sahaja termasuk luar negara boleh mengajar kami secara langsung, dan kami dapat melihat mereka seolah-olah berada di hadapan kelas,” jelas Arissa Safia.
Menurut Shaheed Adam, sistem ini mampu memberikan kesan visual yang realistik dan interaktif meskipun menggunakan kos yang rendah.
Yusuf Nufayl pula berkongsi bahawa mereka kini sedang membangunkan versi Halaqah Vision 2.0 yang bakal dilengkapi dengan kesan bunyi berkualiti tinggi, paparan tiga dimensi dan skrin sentuh interaktif untuk pelbagai bidang, termasuklah sains dan bahasa.
“Kami mahu merapatkan jurang pendidikan, terutamanya bagi murid di kawasan pedalaman. Bayangkan, guru pakar dari United Kingdom, Jepun atau Mesir boleh mengajar pelajar di Pahang dan seolah-olah mereka berada dalam kelas yang sama,” ujar Yusuf penuh semangat.