Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNilai – Program gabungan STI 100³ dan STEM in 30 Seconds yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks KLIA berjaya menarik lebih 600 warga sekolah menerusi pengisian ilmiah dan interaktif yang menyerlahkan aspirasi pendidikan STEM negara.
Program ini dianjurkan bagi menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperkukuh penguasaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah rendah.
Kemuncak program diserikan dengan ceramah oleh Pensyarah Kanan dan Ahli Teknologi Profesional dari KPJ Healthcare University (KPJU), Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain yang juga aktif dalam inisiatif JOM STI.
Dalam ceramah beliau, Profesor Ts. Dr. Norhayati menekankan peranan penting Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) sebagai pemangkin pembangunan negara dan membuka peluang kerjaya yang mencabar serta berimpak tinggi.
“Sebagai seorang saintis tempatan, saya ingin tekankan bahawa untuk berjaya dalam bidang sains pada hari ini, kita perlu menguasai pengetahuan teknikal, mampu berfikir secara kritis, kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan dalam menyampaikan idea serta menyelesaikan masalah,” ujar Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain.

Sesi ceramah yang berlangsung selama hampir satu jam diakhiri dengan sesi soal jawab selama 20 minit yang menyaksikan penyertaan aktif pelajar dalam mengemukakan pelbagai soalan secara langsung.

Menurut Guru Penolong Kanan Petang, Puan Normahani binti Mohd Tahar, ceramah oleh Profesor Ts. Dr. Norhayati memberikan impak yang besar dalam membina keberanian pelajar untuk mengemukakan soalan dan menunjukkan peningkatan dalam kemahiran berfikir secara kritikal.
Sementara itu, Guru Sains merangkap penyelaras program STEM, Puan Rose Raihana binti Rusli pula menjelaskan bahawa aktiviti STEM in 30 Seconds menyediakan ruang latihan kepada pelajar untuk menyampaikan pandangan secara spontan dan berkesan, sekali gus menyemai keyakinan dan daya saing.
STEM in 30 Seconds merupakan aktiviti resensi bahan bacaan bahasa Inggeris oleh pelajar dalam tempoh 30 saat yang bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa dan kemahiran pengucapan awam.

Program STI 100³ pula adalah sebahagian daripada inisiatif nasional yang melibatkan penyertaan 100 saintis tempatan yang akan mengunjungi 100 sekolah dalam tempoh 100 hari untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang STEM.

Penganjuran program ini di SK Kompleks KLIA turut menyumbang kepada pencapaian KPM yang berjaya mencatatkan dua rekod dalam Malaysia Book of Records bagi kategori Perhimpunan Terbesar Saintis Malaysia untuk Program Jangkauan STEM dan Penyertaan Sekolah Terbanyak dalam Program Jangkauan STEM.