Diterbitkan pada 2 Julai 2025, 11:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan sesi latihan kebakaran sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan kesiapsiagaan dan keselamatan di tempat kerja.

Latihan ini dikendalikan oleh Encik Rozaidee Ishak daripada Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, USM dengan pelibatan penuh warga kerja PPPJJ.

Sekitar berlangsungnya sesi latihan kebakaran.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada staf akademik dan pentadbiran meskipun mereka berhadapan dengan tuntutan tugasan pengajaran, penyelidikan dan pengurusan harian.

Dalam konteks ini, pendedahan kepada simulasi kecemasan seperti latihan kebakaran sangat penting kerana dapat melatih tindak balas pantas dan berinformasi dalam situasi berisiko tinggi seperti kebakaran dan sebagainya.

Timbalan Dekan Teknologi dan Sokongan Pembelajaran PPPJJ, USM, YBrs. Dr. Chua Hang Kuen dalam ucapannya berkata,

 Latihan seperti ini berperanan mendidik warga kerja agar sentiasa peka terhadap risiko dan berupaya memberikan tindak balas yang tenang dan berkesan semasa kecemasan.

Katanya, pendedahan kepada latihan keselamatan sebegini mampu meningkatkan ingatan otot, iaitu keupayaan badan untuk memberikan tindak balas automatik hasil pengulangan latihan, terutamanya dalam situasi kecemasan yang memerlukan tindak balas yang terhad.

Sementara itu, Encik Rozaidee Ishak menjelaskan bahawa berdasarkan dapatan kajian keselamatan pekerjaan, latihan yang berulang berpotensi mengurangkan kecederaan dan kematian ketika berlaku sesuatu insiden seperti kebakaran.

Ujar beliau,

Pendekatan ini memberikan nilai tambah kepada sistem keselamatan di tempat kerja dan membentuk budaya kerja yang lebih bertanggungjawab

Antara elemen yang diketengahkan sepanjang latihan termasuklah teknik menggunakan alat pemadam api, pengenalan kepada laluan keluar kecemasan, prosedur pemindahan terancang dan penerangan berkaitan dengan risiko kebakaran elektrik serta cara pengendaliannya yang betul.

Latihan turut menekankan keperluan untuk menjadikan amalan keselamatan sebagai sebahagian daripada etika kerja profesional, bukan semata-mata kerana keperluan prosedur.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi