Diterbitkan pada 26 Jun 2025, 19:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik dan meneroka potensi peluang kerjasama dalam bidang teknologi nuklear menerusi sektor pertanian negara, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi.

Sekitar sesi pertemuan dan perbincangan dua hala antara pihak pengurusan tertinggi Jabatan Pertanian Malaysia dengan pihak pengurusan Agensi Nuklear Malaysia.

Teknologi nuklear telah digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor ekonomi utama di Malaysia dan peranannya dijangka akan semakin meningkat pada masa hadapan, selaras dengan kemajuan pesat industri yang semakin berkembang serta kelebihan teknologi ini sebagai penyelesaian dengan kos efektif yang merentasi pelbagai sektor.

Sesi kunjungan hormat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, Jabatan Pertanian Putrajaya itu membincangkan tentang penerokaan penggunaan teknologi eBeam dan X-ray yang berpotensi dimanfaatkan dalam pelbagai bidang, termasuklah industri makanan, pertanian dan perindustrian.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan bersama-sama Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi semasa sesi menandatangani buku pelawat.

Antara perkara yang turut dibincangkan semasa sesi kunjungan hormat tersebut termasuklah keperluan pelaksanaan bengkel kajian analisis bagi kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi untuk memperkenalkan teknologi tersebut dengan lebih meluas di Malaysia.

Menerusi sesi kunjungan hormat berkenaan dapat membuka ruang bagi potensi kerjasama yang lebih kukuh, selaras dengan hasrat serta keperluan Dasar Teknologi Nuklear Negara dalam memfokuskan peranan teknologi nuklear ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan berdaya saing.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin; Pengarah Kanan Program Pengurusan, Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Shukri Mohd; Pengarah-pengarah Bahagian serta barisan pegawai dari Agensi Nuklear Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi